Home Seni Hidup Usaha murni FARE Agency bantu mangsa banjir

Usaha murni FARE Agency bantu mangsa banjir

Usaha murni sekumpulan 20 ejen hartanah bukan sahaja menghulurkan bantuan malah turut berganding bahu membersihkan rumah mangsa banjir di Hulu Langat.

KUALA LUMPUR – Usaha murni sekumpulan 20 ejen hartanah bukan sahaja menghulurkan bantuan malah turut berganding bahu membersihkan rumah mangsa banjir di Hulu Langat.

Selain itu, kumpulan yang sama juga menyumbangkan kudrat mereka membantu mangsa banjir di Shah Alam, TTDI Jaya, Klang dan Jenjarum.

Inisiatif tersebut jelas Ketua Jabatan Firdaus & Associates Real Estate Agency (FARE Agency), Nooris Roslan dilakukan atas dasar keprihatinan terhadap kesusahan dihadapi mangsa banjir dalam meneruskan hidup pada waktu sangat mencabar itu.

Selain terancam keselamatan, katanya, mangsa banjir turut berdepan kerugian dan kemusnahan harta benda secara total apabila kediaman mereka ditenggelami air dan sukar mencari tempat perlindungan.

Semua ejen hartanah di bawah FARE Star hadir ke lokasi berbekalkan rasa simpati dengan nasib penduduk yang terpaksa terima realiti segalanya musnah sekelip mata, katanya.

“Jadi atas dasar itu, kami ke sana dengan tekad membantu sedaya termampu termasuk menggunakan peruntukan peribadi untuk disumbang kepada mangsa banjir demi berikan sedikit kelegaan buat mereka sekeluarga.

“Secara keseluruhan, dua pasukan amal prihatin kami telah bantu 10 keluarga terjejas menerima keperluan asas termasuklah set toto dan bantal, selimut, makanan, air mineral, seliper dan produk pembersihan untuk setiap keluarga dianggarkan bernilai RM500,” katanya selepas misi amal dan bantuan di Taman Lagenda Suria, Hulu Langat semalam.

Selain barangan keperluan, setiap keluarga turut menerima sumbangan tunai RM500 bagi belanja harian sebagai tanda sokongan serta komitmen membantu mereka yang serba memerlukan demi ringankan beban mangsa bencana banjir.

Dalam pada itu, Nooris menggesa masyarakat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengawal selia sistem saliran air dan longkang di kawasan banjir selain memulihara sungai sebagai sumber tadahan dan pengairan untuk mencegah banjir.

“Tanggungjawab ini perlu digalas untuk elakkan bencana banjir seumpamanya berulang di masa depan. Kejadian banjir bukan sahaja ancaman keselamatan, malah rugikan rakyat dan kesannya terhadap ekonomi negara ketara apabila proses pembangunan di kawasan berisiko banjir tidak produktif dan tiada nilai komersial,” ujarnya.- MalaysiaGazette