Home Nasional Waspada penipuan kutipan derma banjir – Polis

Waspada penipuan kutipan derma banjir – Polis

Datuk Mohd Kamarudin Md Din

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan sindiket penipuan kutipan derma banjir yang melanda Lembah Klang dan beberapa negeri di Pantai Timur pada 18 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, berdasarkan pemerhatian, pelbagai inisiatif kutipan derma telah dilancarkan oleh parti politik, badan bukan kerajaan, syarikat swasta, individu persendirian dan sebagainya.

“Ia bertujuan bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas di lapan negeri yang dilanda musibah  agak teruk itu.

“Kebiasaannya aktiviti kutipan yang bersifat kebajikan ini akan mendapat maklumbalas yang positif daripada rakyat.

“Justeru, pihak polis tidak menolak kemungkinan wujud segelintir individu yang mengambil kesempatan dari isu banjir kilat ini untuk membuat kutipan derma bagi kegunaan sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Kamarudin, walaupun sehingga kini tiada sebarang laporan polis  diterima, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam menyalurkan derma agar ia benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.

“Adalah ditegaskan pihak polis sentiasa memantau aktiviti kutipan derma terutama yang dilakukan melalui internet. Sebarang aktiviti meragukan akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang informasi berkenaan aktiviti penipuan kutipan derma ini digesa untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis melalui CCID Scam Response Center yang boleh dihubungi melalui 03-26101559/1599 atau membuat laporan polis di mana-mana balai polis yang berhampiran untuk siasat lanjut. -MalaysiaGazette