Home SISWA Jabatan, agensi KPT cakna nasib warganya terjejas banjir

Jabatan, agensi KPT cakna nasib warganya terjejas banjir

Mohammad Shatar (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan daripada warga MQA kepada Mohd Muhaimin Mat Yaacob di kediamannya yang terjejas banjir di Dengkil.

KUALA LUMPUR – Semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) cakna dengan nasib warganya yang terjejas akibat banjir di sekitar Lembah Klang apabila turun padang untuk membuat kerja pembersihan.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran yang juga pakar sosial berkata, bantuan yang dihulurkan itu mencerminkan semangat Aspirasi Keluarga Malaysia seperti yang dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, keprihatinan yang ditunjukkan seluruh warga jabatan dan agensi di bawah KPT wajar diberi pujian kerana ia mampu untuk menaikkan motivasi kepada kakitangan yang terkesan dek musibah bah baru-baru ini.

“Jabatan dan agensi KPT turut melancarkan tabung bagi mengumpulkan sumbangan berbentuk kewangan dan barangan keperluan untuk disampaikan kepada mangsa banjir dalam kalangan warganya.

“Selain kerja pembersihan, sokongan moral dan sosial juga sentiasa diberikan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Warga jabatan dan agensi di bawah KPT giat menghulurkan bantuan tenaga membersihkan kediaman rakan mereka yang terjejas.

Warga KPT termasuk menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad turun padang untuk menghulurkan sumbangan dan bantuan kerja pembersihan di rumah kakitangan jabatan dan agensinya yang terjejas akibat banjir.

Seramai 184 warga jabatan dan agensi KPT terjejas sama ada mengalami kerosakan harta benda, rumah atau kendearaan, manakala di politeknik dan kolej komuniti, 204 kakitangannya terjejas sejak Sabtu minggu lalu.

Sukarelawan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), MQA, Education Malaysia Global Services (EMGS), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) giat bergotong-royong membersihkan kediaman warganya sejak Isnin lalu. – MalaysiaGazette