ALOR SETAR – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah kini sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan petugas kaunter sebuah hospital di daerah ini bersikap biadab dalam satu kejadian pada 12 Disember lepas.
Pengarah Kesihatan Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut dan memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi oleh pengadu ketika berurusan di kemudahan kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di negeri ini.
“Kami menghargai serta berterima kasih atas maklum balas yang diberi namun, pengadu diminta untuk menghubungi Unit Komunikasi Korporat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di talian 04 7406 562 bagi memberikan maklumat lengkap berkaitan kejadian tersebut agar siasatan terperinci dapat dilakukan.
“JKN Kedah sedang jalankan siasatan berhubung dakwaan itu dan kita amat kesal dan memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi oleh pengadu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Othman mengulas dakwaan pengadu dalam ruangan forum sebuah media mengenai sikap seorang pembantu tadbir rendah yang didakwa pengadu bersikap biadab.
Tambah beliau, semua janji temu pesakit di Klinik Pakar HSB diberikan secara berperingkat untuk mengelakkan pesakit dan waris datang pada waktu yang sama sekali gus tidak perlu menunggu lama bagi mendapatkan rawatan.
“Pesakit dan waris dinasihatkan mengikuti tarikh serta masa janji temu yang diberi untuk mengelakkan sebarang kesulitan.
“Selain itu, orang juga boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri Kedah di talian 04 7741 000 untuk sebarang aduan atau cadangan penambahbaikan,” jelas beliau. – MalaysiaGazette