KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara menafikan hantaran di laman Facebook oleh pemilik akaun Azril Adnan bertajuk ‘Wow 150 ke ni’ yang tular di media sosial.
Menurut kementerian, kotak makanan tersebut adalah bantuan khusus untuk masyarakat India yang diselaraskan oleh Unit Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi membantu B40 yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“KPN ingin tegaskan program KOTAK MITRA yang dijelaskan oleh YB Menteri Perpaduan Negara adalah sumbangan kotak makanan kepada masyarakat India B40 di ladang-ladang, luar bandar dan pinggir bandar yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
“Program bantuan KOTAK MITRA ini telah dimulakan pada Julai tahun 2021 dan selesai dilaksanakan pada November 2021 yang meibatkan seramai 83,000 penerima.
“Sehubungan itu, kementerian menafikan sekeras-kerasnya kandungan video tersebut serta berharap pihak berkenaan tidak mengaitkan kementerian ini dengan berita palsu.
“Kementerian ini juga amat kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab tersebut dan menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan sebarang berita palsu. Jangan kongsi jika tidak pasti,” katanya hari ini. -MalaysiaGazette