Home Politik Kit Siang puji PM arah menteri bercuti pulang bantu krisis banjir

Kit Siang puji PM arah menteri bercuti pulang bantu krisis banjir

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Ahli politik veteran DAP, Lim Kit Siang memuji sikap tegas  Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri kerana mengarahkan semua menteri yang bercuti di luar negara pulang menangani isu banjir.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, tindakan Ismail Sabri tersebut wajr dipuji.

Namun pada masa sama, Kit Siang juga meminta Perdana Menyeri mendedahkan nama-nama jemaah Kabinet yang kini berada di luar negara ketika Malaysia berdepan dengan bencana besar.

“Ini kerana rakyat mahu tahu sekiranya benar mereka pulang ke tanah air seperti yang telah diarahkan atau ingkar dengan arahan tersebut. Berapa ramai yang berada di luar negara untuk cuti tahunan mereka?

“Tiada sebab anggap ini rahsia rasmi kerana rakyat berhak tahu maklumat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan Ismail Sabri mengarahkan semua men­teri yang berada di luar ne­gara pulang segera ke tanah air manakala menteri yang me­ran­cang untuk bercuti ke luar negara supaya membatalkannya.

Beliau berkata, arahan tersebut dibuat supaya semua menteri dapat bersama-sama agensi kerajaan dan seluruh rakyat mem­bantu Keluarga Malaysia yang kini dalam kesusahan akibat dilanda musibah banjir.

Dalam pada itu, Kit Siang turut menuntut penjelasan sama ada menteri yang pulang akan dikecualikan daripada kuarantin atau tidak.

“Ini kerana rakyat Malaysia yang lengkap vaksinasi dikehendaki berbuat demikian selama tujuh hari selepas pulang dari luar negara.

“Tambahan, mereka yang pulang dari negara berisiko tinggi di mana varian Omicron menular dikehendaki memakai peranti pemantauan digital. Adakah ini turut diguna pakai bagi menteri,” soalnya.

Kit Siang turut memohon sumbangan wang tunai RM1,000 kepada setiap keluarga dinaikkan kepada RM10,000 kerana jumlah tersebut amat kecil berbanding tanggungan dan kerugian yang sedang dilalui oleh mangsa. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PM arah menteri batal cuti, pulang segera jika di luar negara