SHAH ALAM – Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) berjaya mengeluarkan mayat mangsa lemas dalam lumpur sedalam 12 kaki atau 3.65 meter di Pahang semalam.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Muhammad Hamdan Wahid berkata, dalam operasi itu, pihaknya menggunakan anjing K9 jenis Wilderness yang berkemahiran mengesan kedudukan mayat yang tertimbus.
Katanya, pihaknya unit K9 telah digerakkan di beberapa kawasan mencari dan menyelamat membabitkan sebanyak 35 pasukan membabitkan 24 ekor anjing pengesan.
Namun katanya, bukan semua ekor anjing itu digunakan untuk tujuan itu kerana hanya beberapa ekor sahaja dikhususkan untuk pencarian mangsa lemas di bawah lumpur, air dan selut.
‘Kita ada empat ekor anjing Wilderness untuk kita gerakkan di kawasan Pahang yang mana ia melibatkan banjir lumpur.
“Pada masa sama, kalau ada memerlukan bantuan lain, kita sentiasa kolaborasi dengan beberapa pihak yang menyediakan anjing pengesan untuk kerja mencari dan menyelamat,” katanya dalam sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Taman Sri Muda, Seksyen 25 hari ini.
Menurut Muhammad Hamdan, pihaknya kini menumpukan fokus mencari dan menyelamat lima lagi mangsa lemas banjir yang dikhuatiri masih hilang di Pahang.
Bagaimanapun, katanya, operasi mencari mangsa banjir yang masih hilang itu tertumpu di Bentong, Raub dan Kuantan.
“Kita percaya dalam keadaan sekarang ini tugas SAR mencari mangsa hilang cukup mencabar kerana jika lihat selepas air banjir lumpur reda, kawasan dipenuhi timbunan batang kayu, sampah selut, belukar termasuk bahan binaan musnah dan sebagainya,” katanya lagi.
Tambah Muhammad Hamdan, kesemua lima mangsa yang masih lagi hilang sedang dipergiatkan usaha pencariannya di Kampung Tanjung dan Telemong (Bentong), Laman Pesona Cheroh (Raub) serta Taman Tas (Kuantan).
Katanya, semua balai bomba sekitar lokasi kejadian sudah dikerahkan dalam operasi khas berkenaan.
“Operasi SAR itu diberi keutamaan bomba ketika ini kerana ia melibatkan soal nyawa,” ujarnya.- MalaysiaGazette.