KUALA LUMPUR – Selain menjaga keselamatan, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga membantu membersihkan premis yang dilanda banjir di Hulu Langat.
Semalam, seramai 35 pegawai dan anggota dari Batalion 4, Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA) bergotong-royong membersihkan Sekolah Agama Rakyat Dusun Tua dan Surau Al-Mutaqim, Hulu Langat.
Selain tenaga kerja, mereka juga turut menggunakan dua jet pam air dalam tugasan pembersihan itu.
Sementara itu, di Shah Alam, Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Selangor yang diketuai oleh Datin Baidzura Su telah menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asas bagi meringankan beban warga PDRM dan masyarakat setempat yang terjejas dengan banjir.
Sumbangan tersebut dilakukan di tiga lokasi berasingan iaitu Pangkalan Polis Marin Pulau Indah, Balai Polis Batu 9, Kajang dan Dewan Orang Ramai Taman Sri Nanding, Hulu Langat pada semalam.
PERKEP Selangor akan meneruskan program sebegini dalam membantu mereka yang memerlukan bukan sahaja kepada keluarga PDRM malah kepada masyarakat yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda negara ketika ini sehinggalah keadaan kembali pulih seperti sediakala.- MalaysiaGazette