Home Utama Tuang air ketum atas jalan selepas panik ditahan polis

Tuang air ketum atas jalan selepas panik ditahan polis

Anggota menahan seorang penunggang motosikal yang memiliki air ketum ketika mengadakan sekatan jalan raya dalam Operasi Khas Ops Motosikal sempena malam sambutan Hari Natal di Jalan Kuching, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Dua penunggang motosikal menuang air ketum yang dibawa dalam air botol minuman di atas jalan raya selepas panik berdepan dengan sekatan jalan raya

Namun tidak menyedari perbuatan mereka diperhatikan anggota trafik dari jarak 150 meter dari tempat kejadian.

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki itu ditangkap dalam dalam Ops Motosikal di Jalan Kuching berhampiran Bulatan Segambut di sini tengah malam tadi.

Kedua-dua lelaki yang  berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an tersebut didapati membawa air ketum dalam tiga botol minuman berkorbonat bersaiz 1.5 liter dalam raga motosikal yang ditunggang mereka.

Ketika mereka diberhentikan oleh anggota dan diminta membuka beg plastik di dalam raga motosikal, salah seorang daripada mereka membuka beg dan mengeluarkan botol air 1.5 liter yang mana salah satu botolnya mengandungi air ketum.

Kedua-dua mereka telah ditahan lokasi untuk tindakan lanjut polis dan dibawa ke balai polis.

Anggota menahan seorang penunggang motosikal yang memiliki air ketum ketika mengadakan sekatan jalan raya dalam Operasi Khas Ops Motosikal sempena malam sambutan Hari Natal di Jalan Kuching, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 DISEMBER 2021.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT)  Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya turut menjalankan Ops Mabuk dan Ops Samseng Jalanan di beberapa kawasan di ibu negara.

“Secara keseluruhan, sebanyak 252 jumlah saman telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dan 24 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan mengubahsuai struktur kenderaan (ekzos ).

“Seramai 14 lelaki yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 52 tahun ditahan di bawah Seksyen 45(A) APJ 1987 kerana memandu dibawah pengaruh alkohol,”katanya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Bin Mohd Salleh melihat seorang pemandu melakukan ujian hembusan bahan alkohol ketika mengadakan sekatan jalan raya dalam Operasi Khas Ops Mabuk sempena malam sambutan Hari Natal di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 DISEMBER 2021.

Ujarnya lagi, seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun turut ditahan dalam operasi kerana mencuri motosikal dan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Hasil semakan rekod suspek mempunyai tiga rekod lampau berkenaan kes kecurian motosikal sejak dari tahun 2015,”katanya.

Sementara itu, seramai lima lelaki ditahan kerana menunggang dalam keadaan berbahaya sambil melakukan aksi zig-zag, superman dan bersaing antara satu sama lain.

Kesemua suspek yang ditahan berlumba haram itu berusia 19  hingga 31 tahun dan mereka akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

Katanya, kesemua tangkapan akan dibawa Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.-MalaysiaGazette