MARAN – Suasana banjir di sekitar Chenor masih terkawal berbanding banjir yang berlaku pada awal tahun lalu.
Tok Penghulu Chenor Bandar, Khaidir Azly Daharudin berkata, keadaan ini sungguh berbeza pada tahun lalu kerana tahun lalu air naik serentak.
“Kalau banjir awal tahun dulu berbeza,,, kerana air naik serentak jadi penduduk tidak sempat membuat persiapan. Tapi kali ini kita masih boleh melakukan penyusunan lebih teratur dan membolehkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka secara berperingkat,” kata beliau kepada MalaysiaGazette.
Sehingga kini, keseluruhan 28 PPS di Maran masih dibuka menempatkan hampir 1,486 mangsa banjir.
Tambahnya, walaupun banjir sudah memasuki hari ketujuh di Chenor dan air semakin surut namun laluan masuk ke kampung tradisional itu masih belum boleh diakses oleh kenderaan.
Laluan utama jalan besar hanya boleh dilalui jika dari Temerloh manakala laluan dari Bandar Maran menuju ke Chenor masih terputus.
“Penduduk kampung hanya menggunakan bot untuk laluan alternatif bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Sementara itu, Tok Penghulu Seberang Chenor, Mohd Jasmani Johar berkata, bantuan makanan diatur secara sistematik dengan bantuan pihak penyelamat.
“Keadaan terkawal kerana kami sudah bersiap sedia lebih awal.
“Oleh sebab itu, bantuan disalurkan terus dan penduduk lebih tenang menghadapi banjir berbanding awal tahun lalu,” jelasnya. -MalaysiaGazette