Home Pendapat Bencana ekonomi industri: Pekerjaan di sebalik kematian

Bencana ekonomi industri: Pekerjaan di sebalik kematian

Puluhan kenderaan milik mangsa-mangsa banjir dilihat tersadai dan mengalami kerosakan teruk dibiarkan begitu sahaja di tepi-tepi jalan di Hulu Langat.

PROF. Shaharir Mohamad Zain menyimpulkan daripada sehimpunan hujahan para sejawaran mengenai punca keruntuhan dan kemusnahan sesebuah empayar besar ialah “pemakaian melampau sumber asli untuk memenuhi tuntutan ekonomi”.

Alam yang rosak binasa akan mengheret tamadun yang bertenggek di dadanya bersama-sama rebah.

Kita sedang saksikannya kini. Buah-buah ekonomi dalam rupa batu konkrit telah kalah. Bangunan sedemikian gagah telah rebah dirempuh bencana sulaman tangan-tangan kita.

Dunia dewasa ini hanya berhasil menciptakan pekerjaan-pekerjaan untuk memenuhi fungsi ‘homo economicus’ manusia, bukan kehidupan-kehidupan dalam pengertian yang selayaknya untuk didiami al-Insan.

Kita seperti mesin, diperah hari-hari oleh pemodal-pemodal besar untuk merebut segala kesempatan menggiurkan dalam ekonomi pasaran terbuka. Siapa pemilik modal terbesar, mereka berkuasa. Dengan wang, mereka membeli ‘kehidupan’, meraup keuntungan lumayan, bersandar kekenyangan.

Di atas permaidani ‘kehidupan’ yang mereka bina itulah, berdirinya batu-batu nisan tidak bertanda kepada jutaan manusia lainnya. Orang kecil hanya berkuasa mendapatkan upah minimum dan dengan gajinya itu mereka syukuri lalu menumpang hidup di daerah rawan, yang pada bila-bila masa sahaja boleh dilanggar bencana.

Malaysia berduka hujung minggu lepas. Banjir besar yang julung kalinya merempuh tembok keakuan manusia moden. Mereka fikirkan bahawa di balik tembok besi dan gagahnya batu-bata, mereka dapat bersembunyi daripada arus yang marah. Kuala Lumpur, Selangor, Seremban dan Jelebu, Negeri Sembilan dan sebilangan besar negeri Pahang masyhgul. Tidak disangka, Lembah Klang sebagai kawasan yang paling teruk terjejas hampir lumpuh dipukul banjir kali ini. Kita Malaysia berkongsi dukacita terdalam.

7.2 Juta rakyat berdiam di selingkar Lembah Klang yang membawakan semangat kosmopolitan ibu negara dengan nuansa heterogen merangkum kepelbagaian kaum, bangsa, negeri dan mancanegara berada di sini. Lembah Klang, jantung Malaysia tersakiti dipukul banjir. Arus keras merempuh bangunan batu-bata dan merempuh sekali hati-hati manusia yang masih bernyawa. Sayu melihat mereka yang tersimbah musibah ini.

Lembah Klang serta bumi tanah air yang tersakiti oleh tangan-tangan penjarah daripada kalangan mereka sendiri atau kapitalis perosak ketertiban dan keseimbangan alam adalah kesakitan Malaysia.

Istimewa di Lembah Klang kita tidak merasa “bukan lopak, porak dan kampung kami yang kena”. Lembah Klang adalah kita, adalah tanah air tempat udaranya dihirup pencari rezeki daripada kalangan saudara-saudara mara kita.

Banyak analisis yang dibentangkan oleh pakar berautoriti mengapa fenomena kali ini luar daripada biasa. Salah satu daripada banyaknya punca banjir di Kotaraya kata mereka ialah permukaan tanah semakin berkurang untuk bertugas menyerap dan menakung dan menyimpan limpahan air. Banyak tanah diturap dan dikonkrit untuk ditegakkan bangunan.

Manakala, faktor berlakunya banjir kilat ialah masalah pembuangan sampah yang dihumban ke dalam longkang. Oleh siapa? Tanpa menyebut kategori sosial mereka, ia tidak ditentukan oleh latar belakang pendidikan dan status, cuma boleh dikelompokkan mereka muncul daripada kategori sosial yang berminda senteng.

Manakala, analisis yang dibentangkan oleh Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah dari Universiti Malaya menarik dimajukan. Curahan hujan kali ini empat kali ganda lebih banyak daripada biasa akibat tekanan rendah di tengah Semenanjung. Tekanan rendah ini yang menjana hujan secara besar-besaran berbanding keadaan ribut petir biasa.

Hujan lebat bukan turun di Lembah Klang. Hujan besar-besaran turun di Banjaran Titiwangsa.

Air hujan yang turun di Banjaran Titiwangsa inilah masuk ke sungai-sungai utama di Selangor. Kesannya, sebahagian besar sungai di paras bahaya.

Sungai Selangor yang mengalir dari Kuala Kubu Bharu di timur dan masuk ke Selat Melaka di Kuala Selangor di barat pun sudah paras bahaya.

Lebih buruk, kawasan Klang berdepan air pasang besar. Tidaklah tinggi daripada yang pernah direkodkan, namun memberi implikasi air daripada darat tidak dapat keluar lancar seperti biasa.

Intensiti curahan air hujan dengan rekod taburannya dalam tempoh sebulan turun dalam masa 24 jam turut dijelaskan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

“Taburan hujan 24 jam di Sentul sebanyak 363 milimeter, di tempat lain seperti di kilometer 11 daerah Gombak sebanyak 247 milimeter, di Jinjang 258 milimeter dan di Jalan Tun Razak 273 milimeter. Berbanding keseluruhan taburan hujan di kawasan kira-kira 2400 milimeter setahun. Tetapi semalam jumlah hujannya dalam masa sehari bersamaan lebih sebulan, ini sesuatu di luar jangkaan, perkara ini berlaku lebih 100 tahun sekali,”

Alhasil, kita dapat menyaksikan foto dan video kesan ‘totally lost’ daripada rakan-rakan dan kenalan melintas di dinding media sosial membawa kita kehilangan kata-kata. Betapa dasyat banjir kali ini. Betapa berkuasanya Allah dan lemah rapuhnya manusia. Tiada yang dimiliki kekal hatta diri sendiri.

Banyak sekali kehilangan yang dirasai. Bumi kehilangan alam. Tiada penyanggah, pasak penahannya daripada saling kitaran pergantian musim. Hujan lebat, panas menyala, ais mencair, daratan tenggelam, tanah terhakis, bumi sakit, alam raya menjerit. Lihat muntahannya, ada lahar, bah merah penuh darah daripada bumi yang terluka.

Mahukah diperpanjangkan kitaran edan ini? Sehingga lebih ramai manusia kecil tidak berdosa tersembah, meratap menangisi kehilangan, sedangkan tuan-tuan besar masih belum jaga dari kekenyangan di kerusi santapan?

Kita kena berani bergerak kepada wacana orientasi ekonomi ihsani. Ekonomi kebahagiaan yang tidak lagi dipengaruhi modal.

Alam adalah teknologi paling stabil, paling tertib dan tersistem. Apabila alam dipaksakan berubah menurut selera para pemodal, ramai masyarakat yang terdera menerima kesannya semerta. Sebagai contoh, beberapa tahun lepas masyarakat Suku Orang Asli Bateq yang dicabul kehidupan mereka oleh pembalakan. Sungai yang ribuan tahun berjasa membekali nadi kehidupan kepada mereka telah tercedera. Darahnya teralir ke dapur-dapur mereka.

Ada masyarakat yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan alam sosial baharu yang berubah. Sebelumnya hidup mereka bergantung sepenuhnya kepada sumber asli semulajadi. Ketika datang cerek elektrik, orang-orang tua yang terbiasa dengan cara masak menenggek cerek di dapur kayu tidak yakin elektrik dapat menjadikan air masak. Begitu juga menanak nasi. Mereka ragu penanak nasi boleh memindahkan beras berisi air menjadi nasi. Sehinggalah waktu perlahan-lahan mengubahnya, jika tidak pun menunggu pergantian generasi.

Begitu masyarakat memerlukan waktu atau dipaksa beradaptasi. Pergantungan hidup kepada sumber semulajadi yang bersih tulen asli daripada sebarang keruh hitam pekat nafsu manusia kini telah menjadi mimpi ngeri. Air semulajadi tempat mereka meneguk buat kelangsungan hidup kini menjadi tuba yg merosak sendi bahkan nyawa mereka. Sebuah ketakutan yang tidak pernah terjadi ribuan tahun lamanya mereka mengadu untung pada air bersih yang mengalir jernih daripada perut bumi yang lestari sebelumnya.

Yang perlu disalahkan bukan mereka tidak mahu berubah tetapi kita yang kononnya sudah berubah menjadi manusia yang hidup kekal bertamaddun dengan sukacita dan bahagianya merosakkan tamaddun orang lain. Mungkinkah menunggu tamaddun kita rebah kerana kemelampauan ini baru segera kita insafi betapa bernafsunya kita meratah alam.

Eko-nomi disaran agar dijenamakan semula kepada eco (ecology) – nomy (economy) atau ekonomi lingkungan, ekonomi ekologi. Ekonomi kebahagiaan yang tidak bernafsu besar mencetak kapitalis bilioner yang hidup senang berenang dalam kemewahan di atas kesakitan kepiluan billionan orang lain.

Justeru, kita syorkan kepada agar para ekonomis memulakan langkah berani mengajukan kerangka besar (grand template) falsafah ekonomi yang bukan lagi diterasi modal dalam perebutan sistem pasaran terbuka. Mungkin perkahwian ekonomi sosialisme, kapitalisme dengan sistem ekonomi berpaksi tauhid sebagai pentakrifnya perlu digubal. Kami bukan yang ahli, yang layak mencadangkan. Supaya lebih ramai yang tampil daripada kalangan yang sebenarnya pakar mengambil bahagian, tulisan pojok ini memulai dahulu.

Mungkin wajar dimulai oleh sekumpulan kecil para pemain ekonomi sebagai pemula, pemotor awal ekonomi ihsani atau ekonomi kebahagiaan yang berteraskan prinsip kerjasama, tolong-menolong (ta‘āwun), saling meredai (‘ān tarāḍin/ mutarāḍin) dan perkongsian (mushārakah).

Merekalah nantinya para ekonomis sekaligus moralis yang menebarkan akhlak Islami seperti rahmah, syukur, kepemurahan (karam/iḥsān) dan kesederhanaan (tawāzun/‘iffah), termasuk juga konsep khilāfah, yakni kebertanggungjawaban dan amanah.

Prinsip-prinsip ini adalah tertanam dalam faham-kejiwaan (psychology) dan faham-alam (cosmology) asas yang digunapakai oleh Ekonomi Ihsani, yang mempercayai bahawa (i) sumber alam dan sumber budaya dalam dunia ini sebenarnya adalah berlimpahan, sedangkan (ii) keperluan kebendaan, kemahuan dan keinginan manusia adalah terhad dan seharusnya atau sepatutnya dihadkan.

Juga untuk jangka pendek, bagi menyerap beban berat ditanggung mangsa yang terjejas teruk, Bank-bank yang sanggup memberikan moratarium automatik dan menyerap beban dan tekanan di waktu kini mungkin kalah sedikit untung, tetapi ketahuilah mereka akan meraih keunggulan moral (superiority moral) yang akan ditandai oleh jutaan rakyat. Pulangan kembali kepada mereka di waktu ribut reda dan banjir berhenti akan seperti cendawan tumbuh dan daun-daun dan pucuk hijau menjalar merayakan kemerdekaan sesudah musibah.

Banker juga Khalifah

Untuk yang seterusnya pada jangka panjang, keadaan musibah tahunan ini tidak boleh berlamaan kita hadapi. Menahun emosi akan terganggu dan kehilangan tidak berganti. Alam jangan dirosakkan samada oleh apa-apa alasan ekonomi industri. Kita tidak berhajatkan banyaknya pekerjaan semata-mata dengan kelak oleh pekerjaan yang didapatkan itu, akan lebih banyak kehidupan yang mati. Marilah kita usahakan sesuatu atas apa sahaja dorongan, kerana kita juga khalifah.

Juga kita berusaha menghulur tangan membantu edaran sumbangan barang, tenaga sukarela, dan sahaja yang terdaya kepada mereka dan kepada KITA (yakin, bahawa segala yang kita beri, adalah saham akhirat sendiri).

Takziah Malaysia dan takziah dunia.

Oleh: Muhamad Hanapi Jamaludin
Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia
Ketua Penerangan Gerakan Belia 4B Malaysia