Home Seni Hidup Ibu tunggal antara keutamaan bantuan pasca banjir PGDM, YES

Ibu tunggal antara keutamaan bantuan pasca banjir PGDM, YES

Dari kiri, Pengerusi PGDM, Mohamad Azfar Afandi Zulkfley dan Sukarelawan YES, Muhammad Dinnie Asyraf Salim (tengah), hadir menghulurkan bantuan pada ibu tunggal di Kampung Tengah Batu 13, Puchong.

KUALA LUMPUR – Ibu tunggal yang baru kehilangan suami akibat virus Covid-19 antara mangsa banjir yang diberi keutamaan dalam misi bantuan pasca banjir dianjurkan oleh Yayasan Era Suria (YES) bersama Pertubuhan Generasi Digital Media (PGDM).

Sukarelawan YES, Muhammad Dinnie Asyraf Salim menyifatkan jalinan kerjasama di antara Organisasi Bukan Kerajaan ini amat penting bagi memastikan koordinasi di lapangan lebih bersifat menyeluruh selain memastikan tiada golongan yang tercicir ketika negara sedang ditimpa bencana.

“Mangsa yang kami temui rata-ratanya terkesan dengan emosi. Sudahlah baru sahaja kehilangan punca pendapatan akibat Covid-19. Kini berdepan pula dengan musibah banjir yang menyebabkan kerugian cukup besar, ” katanya selepas menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Tengah, Batu 13, Puchong, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi PGDM, Mohamad Azfar Afandi Zulkfley ketika ditemui berkata, misi kali ini bukan semata-mata memberi bantuan keperluan harian dan kewangan tetapi lebih kepada sokongan moral dan emosi kepada mangsa banjir.

“Emosi mereka sangat terkesan ketika ini. Jadi kita perlu bantu mereka dengan segala apa yang boleh dilakukan khususnya menaikkan semula semangat mereka”, ujar beliau.

Seramai lima keluarga menerima sumbangan pasca banjir dalam program itu yang mana ahli keluarga mereka meruapakan antara mangsa yang kehilangan nyawa kerana Covid-19.

Mashitah Abd Talib menerima sumbangan dari PGDM dan YES.

Salah seorang penerima bantuan, Mashitah Abd Talib, 55, menyifatkan banjir kali ini antara paling buruk sepanjang tempoh beliau menetap di Kampung Tengah.

“Inilah sumbangan pertama yang saya terima sejak hari pertama dilanda banjir. Saya amat bersyukur kerana ada pihak yang mengambil berat terhadap nasib saya ini”, menurutnya.

Pada 18 Disember lalu, Selangor dilanda banjir luar biasa dan antara kawasan yang terjejas teruk adalah Kampung Tengah Batu 13, Puchong sehingga melumpuhkan hampir keseluruhan kawasan.

Hasil tinjauan mendapati, rumah-rumah mangsa ditenggelamkan air banjir sehingga ke paras atap rumah dan merosakkan harta benda penduduk sekitar. – MalaysiaGazette