KUALA LUMPUR – Model ramalan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan kemungkinan berlaku banjir di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu bermula 30 hingga 31 Dis ini.
JPS dalam kenyataan memaklumkan kemungkinan tersebut dikeluarkan susulan Ramalan Cuaca Signifikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi tarikh 25 Dis hingga akhir tahun ini.
Menurut kenyataan itu, risiko banjir diramal di Kelantan antara pukul 8 malam (30 Dis) dan 8 pagi keesokan harinya melibatkan jajahan Gua Musang dan Kuala Krai serta kawasan sekitarnya berikutan jangkaan kenaikan aras air melepasi aras bahaya di Sungai Galas di Limau Kasturi dan Dabong serta Sungai Kelantan di Kuala Krai.
Justeru, JPS mengingatkan orang awam untuk sentiasa berwaspada dan peka dengan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette