Home Dunia Letusan gunung berapi La Palma sudah berakhir

Letusan gunung berapi La Palma sudah berakhir

Lava dari gunung berapi Cumbre Vieja mengalir laju sejak ia meletus pada hari Ahad. foto Reuters

LA PALMA – Letusan gunung berapi di Pulau La Palma, Sepanyol secara rasmi diisytiharkan berakhir pada hari Krismas selepas hampir 100 hari aliran lava berterusan, menjejaskan ribuan nyawa dan memusnahkan harta benda serta menjejaskan ekonomi tempatan.

Selepas meletus pada 19 September, gunung berapi Cumbre Vieja tiba-tiba menjadi sunyi pada 13 Disember lalu.

Pihak berkuasa bagaimanapun, mengelak daripada membuat sebarang pengumuman rasmi sehingga hari Sabtu kerana berhati-hati.

“Apa yang saya ingin katakan hari ini boleh dikatakan dengan hanya empat perkataan: Letusan ini telah berakhir.

“Ia bukan kegembiraan atau kepuasan – bagaimana kita boleh menentukan apa yang kita rasa? Ia melegakan emosi. Dan berharap. Kerana sekarang, kami boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerja pembinaan semula,” kata Julio Perez, Ketua Keselamatan Kepulauan Canary.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menyifatkan pengakhiran letusan itu sebagai “hadiah Krismas terbaik.”

“Kami akan terus bekerjasama dengan semua institusi untuk membangunkan semula La Palma dan membaiki kerosakan,” katanya.

Kira-kira 7,000 orang penduduk telah dipindahkan dari rumah di kawasan yang mempunyai kira-kira 83,000 penduduk.

Kira-kira 3,000 hartanah musnah akibat lahar yang kini meliputi 1,219 hektar, menurut perkhidmatan kecemasan. – Agensi