KUALA LUMPUR – Seorang pemandu yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Jalan Duta Kiara baru-baru ini telah ditahan dan didapati memandu dalam keadaan mabuk.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian itu berlaku lewat pagi semalam, kira-kira jam 1.10 pagi semasa polis mengadakan sekatan Jalan Raya Op Khas Ambang Krismas di Jalan Duta Kiara menghala ke Solaris.
‘Seorang lelaki berumur dalam lingkungan 31 tahun memandu kenderaan motokar jenis Honda Civic berwarna putih, cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya dengan berpatah balik.
”Anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur telah mengejar dan menahan kenderan terbabit.
”Semasa proses penahanan pemandu kenderaan enggan memberikan kerjasama,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata demikian selepas video mengenai kejadian itu dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Yaren Chan memaparkan kejadian dua orang anggota polis dipercayai sedang menahan seorang pemandu mabuk. – MalaysiaGazette