Home Pendapat Penghayatan Al-Takaful Al-Ijtima’i dalam mendepani musibah

Penghayatan Al-Takaful Al-Ijtima’i dalam mendepani musibah

Mangsa, Norima Abdul Hamid berehat di ruang depan rumahnya yang hancur dilanda banjir ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pasca banjir berikutan hujan lebat yang berterusan di Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2021.

Istilah al-takaful merupakan satu istilah yang popular dalam kalangan masyarakat. Istilah ini lebih dikenali masyarakat ketika dihidangkan dengan produk perlindungan diri, kereta, keluarga, aset dan sebagainya. Namun begitu, persoalan yang timbul adalah sejauh mana istilah ini dihayati dalam konteks kemasyarakatan yang lebih besar terutama ketika berhadapan dengan krisis banjir kilat seperti yang berlaku di beberapa tempat sekitar negara baru-baru ini.

Dari segi takrifan, al-takaful al-ijtima’i merupakan satu istilah yang terbentuk daripada dua kalimah iaitul al-takaful dan al-ijtima’. Pengertian terhadap istilah ini dapat
diperhatikan melalui beberapa huraian yang dikemukakan oleh sarjana. Dalam hal ini, Abu Zahra menjelaskan al-takaful al-ijtima’i sebagai setiap rakyat adalah di bawah tanggungjawab masyarakatnya.

Sementara pada setiap pemimpin memiliki tanggungjawab terhadap seluruh masyarakatnya dalam memastikan kebaikan dan kemaslahatan (Kitab al-Takaful al-Ijtima’i fi al-Islam). Dalam satu pengertian lain, Abdullah Nasih ‘Ulwan menjelaskan al-takaful al-ijtima’i ini sebagai saling menjamin antara anggota masyarakat dan saling menyandari antara satu sama lain tanpa mengira kelas sosial (Kitab al-Takaful al-Ijtima’i fi al-Islam).

Daripada pengertian yang diketengahkan tersebut, al-takaful al-ijtima’i merupakan satu konsep yang menekankan prinsip kebersamaan, solidariti dan saling membantu antara
masyarakat mahupun antara rakyat dengan pemerintah. Konsep ini pada hakikatnya bukanlah terasing dalam agama Islam. Malah, ia mempunyai sandaran yang jelas sama ada melalui wahyu al-Qur’an mahupun al-Sunnah. Misalnya dalam al-Qur’an Allah SWT menegaskan untuk mewujudkan kerjasama atau tolong menolong dalam hal-hal ketaatan dan kebaikan.

Mesej ini amat jelas terkandung dalam surah al-Maidah ayat ke-2. Sementara konsep ini turut dijelaskan melalui beberapa hadis Rasulullah SAW misalnya hadis yang menceritakan tentang “mukmin terhadap mukmin yang lain diumpamakan seperti sebuah bangunan yang saling menguat antara satu sama lain” (Riwayat al-Bukhari). Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW turut menegaskan supaya mewujudkan solidariti antara umat. Ini dapat diperhatikan melalui hadis riwayat Ibnu Abas dari Nabi SAW: “Tidak termasuk orang mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan”.

Berdasarkan dokongan nas daripada al-Quran mahupun hadis, maka jelas bahawa al-takaful al-ijtima’i merupakan suatu konsep yang sangat dituntut perlaksanaannya dalam
syariat Islam. Dalam realiti semasa di Malaysia, penghayatan terhadap konsep ini perlu diberi perhatian sewajarnya demi mewujudkan kesejahteraan hidup bermasyarakat. Hal ini kerana, konsep ini memfokuskan solidariti terhadap golongan yang memerlukan ghalibnya dari kalangan faqir, miskin, anak-anak yatim, mereka yang ditimpa penyakit dan mereka yang dalam keadaan berhajatkan sesuatu.

Jika diperhatikan golongan yang menjadi sasaran tersebut pada hakikatnya berada dalam keadaan serba kekurangan samada dari segi rohani, jasmani, harta benda dan lain-lain. Justeru, masyarakat sekeliling dituntut untuk memberi sokongan dan dokongan sewajarnya kepada pihak-pihak berkenaan.

Meneliti konsep al-takaful al-ijtima’i dalam realiti musibah banjir yang melanda beberapa tempat di negara ini, pihak-pihak yang terlibat dalam bencana ini hakikatnya berada dalam keadaan yang lemah dan serba kekurangan. Tidak dapat dinafikan sebahagian daripada mereka mungkin tidak berhadapan dengan isu kewangan, namun golongan seperti ini memerlukan solidariti daripada aspek yang lain.

Dalam keadaan musibah seperti ini, al-takaful al-ijtima’i perlu dilaksanakan dengan memfokuskan kepada keperluan asas kehidupan manusia yang berada pada tahap daruriyyat. Keperluan tersebut tidak dapat tidak terdiri daripada al-kulliyat al-khams sepertimana yang telah dijelaskan dalam wacana maqasid al-syariah. Ini bermaksud, dalam keadaan musibah banjir yang melanda sebahagian masyarakat di negara ini, golongan yang terlibat dengan bencana perlu dipastikan keselamatan nyawanya melalui beberapa bentuk bantuan pantas seperti pemindahan dari kediaman ke tempat persinggahan banjir sementara, bantuan makanan dan minuman dan seumpamanya.

Untuk menjayakan hal tersebut, pelbagai pihak perlu memainkan peranan demi memastikan keperluan asas tersebut benar-benar terpelihara. Lebih terperinci, daruriyyat khususnya melibatkan hifz al-nafs perlu dipelihara sama ada daripada (janib al-wujud) dan (janib al-‘adam). Dalam keadaan getir yang berlaku, keselamatan nyawa perlu diutamakan berbanding hal-hal lain. Oleh kerana itu, al-takaful al-ijtima’i perlu mengutamakan pemeliharaan nyawa dari janib al-wujud melalui pendekatan seperti memastikan bekalan makanan dan minuman berterusan (food security), penempatan sementara yang teratur dan sistematik dan menyediakan pakaian asas. Dari (janib al-‘adam) pula, mereka yang berhadapan dengan sebarang bentuk ancaman kesihatan dan nyawa di saat ini perlu diberikan rawatan sewajarnya.

Sebagai rumusan, al-takaful al-ijtima’i perlu dihayati dalam kalangan masyarakat bagi mewujudkan rasa empati kepada golongan yang memerlukan bantuan khususnya di saat musibah. Aplikasi konsep ini dalam realiti musibah yang melanda bukan sahaja dapat melahirkan perlindungan nyawa kepada mereka yang terlibat, malah dapat mengatur keutamaan bantuan dengan sistematik dalam usaha membantu golongan yang memerlukan.

Oleh:Dr. Muhammad Safwan Harun
Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Dr. Mohd Anuar Ramli
Prof Madya, Jabatan Fiqh & Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya