Home Sukan Piala AFF: Thailand jumpa Indonesia di final

Piala AFF: Thailand jumpa Indonesia di final

Thailand menempah pertemuan final bertemu Indonesia pada 29 Disember dan 1 Januari ini.

KUALA LUMPUR – Thailand berjaya mengenepikan cabaran Vietnam untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2020 selepas terikat tanpa jaringan pada aksi separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Nasional, Singapura sebentar tadi.

Keputusan seri itu sudah cukup untuk membawa Thailand ke perhitungan akhir buat kali kesembilan selepas mereka menang 2-0 pada perlawanan aksi pertama.

Kemaraan itu juga sekali gus menyaksikan Thailand dapat menebus kehampaan gagal ke pentas final edisi lalu selepas tunduk di tangan Malaysia pada aksi separuh akhir.

Kebuntuan jaringan tersebut kekal hingga tamat permainan bagi membolehkan juara lima kali itu menempah pertemuan final bertemu Indonesia pada 29 Disember dan 1 Januari ini.

Edisi 2016 juga menyaksikan kedua-dua pasukan bertemu di perlawanan akhir yang menyaksikan Thailand menang dengan keputusan agregat 3-2.

Dalam aksi malam ini, Thailand dilihat menguasai permainan sepanjang 90 minit tetapi Vietnam yang ketinggalan dua gol lebih banyak menjelmakan serangan berbahaya ke kubu skuad kendalian Alexandre Polking itu.

Bagaimanapun, barisan pemain Thailand yang diketuai Chanathip Songkrasin jelas cukup berdisiplin dalam mengekalkan kelebihan dimiliki untuk memastikan Park Hang-seo dan anak buahnya berputih mata. – MalaysiaGazette