Home Nasional Ibrahim dilantik Speaker DUN Melaka, Dira timbalan

Ibrahim dilantik Speaker DUN Melaka, Dira timbalan

Sulaiman Md Ali menyarungkan pakaian rasmi Speaker kepada Ibrahim Durum sebagai simbolik pelantikan di Dewan Undangan Negeri Melaka hari ini.

MELAKA – Bekas Exco selama empat penggal, Datuk Ibrahim Durum dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Persidangan Pertama DUN Melaka Ke-15 hari ini.

Tokoh politik sejak 1989 itu adalah calon tunggal dicadangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang kemudian disokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek V P Shanmugam.

Cadangan itu kemudian disokong 15 ADUN, sementara lima berkecuali dan lapan tidak hadir sebelum Ibrahim mengangkat sumpah pada jam 9.48 pagi.

Khaidhirah Abu Zahar

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dilantik sebagai Timbalan Speaker selepas dicadangkan ADUN Tanjung Bidara Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Cadangan itu kemudian disokong ADUN Telok Mas Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang turut disokong 15 ADUN, enam berkecuali dan tujuh tidak hadir.

Sebelum aktif ke dunia politik pada 2015, Khadhirah, 37, atau dikenali Dira adalah pelakon terkenal menerusi beberapa drama dan filem negara.

Pemegang Sarjana Dasar Awam Universiti Malaya itu merupakan anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka kelapan Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ithnin. – MalaysiaGazette