KUALA LUMPUR – “Ada pihak yang tidak bertanggungjawab menabur fitnah dan mengumpul dosa kering terhadap saya,” jelas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap gambar yang tular hari ini.
Ahmad Zahid berkata, gambar itu dirakam pada Januari lalu ketika banjir melanda Pahang.
“Sebenarnya ini gambar lama saya yang dirakam semasa banjir di Pahang pada 7 Januari 2021.
“Namun gambar lama saya itu mereka kaitkan dengan rawatan yang saya terima di luar negara bulan lalu.
“Dakyah mereka saya baru selesai menjalani rawatan, tetapi sudah berupaya memikul barangan berat untuk mangsa banjir pada minggu lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Awal hari ini tular gambar Ahmad Zahid yang dilihat memikul barang keperluan yang didakwa ketika banjir melanda negara pada minggu lalu.
Dalam gambar itu, Ahmad Zahid yang menjalani rawatan di Jerman ekoran sakit belakang serta leher berkata, gambar itu diambil ketika mengadakan lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kuala Dong, Raub.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menasihat agar rakyat tidak percaya kepada fitnah yang dilemparkan kepada beliau.
“Hentikanlah. Dalam keadaan rakyat amat-amat memerlukan bantuan ketepikan politik nista sebegitu.
“Nampak gaya mereka ini masih tidak serik-serik untuk menipu dan memperdaya rakyat Malaysia.
“Bersama kita abaikan mereka ini dan teruskan usaha-usaha menolong rakyat.
“Semoga Allah berikan hidayah dan petunjuk kepada mereka yang suka menabur fitnah agar kembali bertaubat atas perbuatannya,” katanya. – MalaysiaGazette