SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan segala sumber yang ada dalam memastikan keselamatan penduduk lebih terjamin terutamanya selepas pasca banjir di negeri ini.
Menurut Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Ramli Din, beliau percaya Ketua Polis (KP) Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed juga telah mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani isu-isu berkaitan.
“Saya percaya tindakan telah diambil oleh KP Selangor dalam usaha menjelaskan kepada masyarakat tentang isu-isu sebegini, jadi nasihat-nasihat juga diberikan melalui pegawai dan anggota polis.
“Kita ada sektor-sektor polis, satu balai di bahagikan kepada beberapa sektor dan setiap sektor ada seorang anggota polis, jadi kita akan gunakan semua sumber yang ada ini untuk apa sahaja bantuan sama ada dari sudut nasihat, keselamatan dan sebagainya.
“Itulah wajarnya anggota sektor ditekankan lagi untuk terus turun memberi khidmat sebegini,” katanya dalam sidang media selepas program penyampaian bantuan kepada mangsa banjir di Menara 1, IPK Selangor hari ini.
Ramli berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah media yang melaporkan sindiket ah long dikesan mengambil kesempatan dengan menyusup ke rumah-rumah mangsa banjir untuk menawarkan pinjaman kepada mereka yang terdesak. – MalaysiaGazette