Home Nasional Pemandu mabuk rempuh 4 beranak di Klebang dituduh esok

Pemandu mabuk rempuh 4 beranak di Klebang dituduh esok

Polis sedang memburu dua lelaki dipercayai terlibat kes pukul dalam sebuah restoran di Bandar Mahkota Cheras pada Jumaat lepas.- Gambar hiasan

MELAKA – Pemandu yang merempuh kereta dinaiki empat beranak sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Jalan Klebang, di sini, 29 November lalu akan dituduh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh esok kerana memandu dalam keadaan mabuk.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, pertuduhan akan dilakukan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Kertas siasatan sudah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dan arahan menuduh suspek berusia 42 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM8,000 dan tidak lebih daripada RM20,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 pagi 29 November lalu, mangsa Abdul Rahim Mohamad, 53, meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga lagi anaknya berusia 11, 13 dan 20 tahun cedera parah termasuk pendarahan di kepala selepas kereta jenis Proton Wira dipandunya dirempuh kereta Nissan Teana dari arah bertentangan.

Kejadian itu mengakibatkan kenderaannya berpusing dan melanggar tiga lagi motosikal.

Nahas tersebut turut tular dalam laman sosial Facebook dan mencetuskan kemarahan netizen selepas pemandu kereta jenis Nissan Teana itu didakwa memandu dalam keadaan mabuk. – MalaysiaGazette