Home Utama Penduduk lega air Sungai Tuntung surut

Penduduk lega air Sungai Tuntung surut

Mohd Azuar Adnan menunjukkan Sungai Tuntung yang menjadi punca air naik ke dalam rumah jagaannya di Hulu Langat, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 27 DISEMBER 2021.

HULU LANGAT – Hujan lebat berselang seli sejak petang semalam hingga malam tadi menimbulkan panik kepada seorang penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Tuntung di sini kerana bimbang akan terjebak dengan banjir lumpur sekali lagi.

Mohd Azuar Adnan, 55, ketika ditemui MalaysiaGazette memberitahu, perasaan gemuruh yang dirasainya bagaimanapun hanya seketika kerana air sungai tersebut naik hanya ke paras buku lali dan mulai surut sejam selepas itu.

Menceritakan detik cemas tersebut, beliau berkata, dia mendapat tahu mengenai perkara itu daripada beberapa kumpulan aplikasi Whatsapp.

Katanya, beberapa video serta gambar yang menunjukkan air sungai berkenaan mengalir deras turut ditularkan menerusi laman sosial itu.

“Memang bila air naik sahaja, kami di sini rasa cemas sebab akan teringat banjir  peristiwa yang baru seminggu berlaku.

“Syukurlah air naik hanya sejam dan surut semula tak lama lepas itu,” katanya sambil memberitahu masih terkenang  kejadian banjir besar yang berlaku baru-baru ini.

Mohd Azuar berkata,  berikutan banjir besar minggu lalu, setiap kali cuaca mendung dan hujan, dia akan berjaga-jaga untuk memastikan tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini kepada keluarganya.

Katanya, meskipun dalam kejadian air bah minggu lalu tidak menenggelamkan rumahnya tetapi apa yang berlaku dan menimpa mangsa-mangsa lain benar-benar menakutkan dirinya.

 

Mohd Azuar Adnan menunjukkan paras air yang naik ke dalam rumah jagaannya berikutan cuaca hujan semalam di Hulu Langat, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 27 DISEMBER 2021.

“Walaupun kejadian itu tak menimpa diri saya tapi kesan yang berlaku dan apa yang dirasai oleh orang lain tetap merisaukan saya dan keluarga.

“Maklumlah, kejadian banjir besar macam ini tak pernah berlaku lagi dan ini kali pertama terjadi.

“Untuk itu, kalau hujan terlalu lama kami yang tinggal di sini hanya ambil langkah berjaga-jaga dan berserah kepada Allah sahaja,” ujarnya.

Malam tadi, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkongsi rakaman video di laman Twitternya menunjukkan kekecohan apabila banjir mulai memasuki kediaman seorang penduduk.

Kejadian dikatakan berlaku di Sungai Lui, di sini.

Dalam ciapannya Reezal berkata, Air Sungai Lui kembali naik dan pihak Bomba dan Penyelamat telahpun dikerahkan ke lokasi untuk bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.

“Air Sungai Lui kembali naik malam ini, Allahuakbar. Pasukan Bomba dan Penyelamat telahpun dslam mode siap sedia di lokasi bagi menghadapi apa jua kemungkinan yang berlaku,” ciapnya. – MalaysiaGazette