PETALING JAYA – Tidak kisah masyarakat Cina negara ini makan dengan penyepit, garfu dan sudu atau menggunakan tangan sekali pun asalkan dalam hati dan fikiran mereka memiliki jiwa rakyat Malaysia yang sejati.
Datuk Seri Najib Razak berkata demikian bagi menjawab analogi ‘chopsticks’ oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengulas mengenai proses asimilasi kaum Cina di Malaysia.
Bekas perdana menteri itu menambah, orang Cina telah berjaya menunjukkan kemahiran keusahawanan, kecekalan, kebolehan dan ketabahan untuk menghadapi cabaran yang sukar.
Apatah lagi jelas beliau, sebarang pemulihan ekonomi selepas pandemik Covid-19 akan bergantung kepada kekuatan yang wujud untuk menyumbang kepada proses kemahiran itu.
“Jika 2021 adalah tahun dunia mengubah arus menentang wabak Covid-19, 2022 akan dikuasai dengan keperluan untuk menyesuaikan diri dengan realiti baharu selepas pandemik.
“Ia perlu menekankan keperluan untuk menggalakkan pembangunan berkualiti tinggi, menyediakan skim perlindungan sosial dari awal hingga ke akhir hayat, meningkatkan pendapatan penduduk bandar dan luar bandar, mengecilkan jurang pengagihan pendapatan dan menghalang polarisasi kekayaan.
“Kita mesti melihat di luar kebiasaan sambil menjamin kestabilan dan keamanan dalam mewujudkan keadaan yang lebih inklusif dan adil bagi orang ramai untuk meningkatkan keupayaan pembangunan mereka serta membentuk persekitaran yang memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk menjalani kehidupan yang bermaruah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi China Sedunia 2021 di sebuah hotel di sini hari ini.
Forum Ekonomi China Sedunia 2021 adalah forum tahunan yang menghimpunkan 250 delegasi yang terdiri daripada pemimpin dunia, kapten industri, usahawan baharu dan yang telah bertapak, pemimpin masa hadapan dan belia pemacu perubahan bagi membincangkan isu ekonomi melibatkan kuasa besar global yang semakin memuncak.
Najib menambah, 2022 juga merupakan tahun yang mana negara mesti terus membina persahabatan bermakna dengan jiran serantau untuk merangka dan membahaskan penyelesaian dasar kepada masalah dan halangan serta mengukuhkan model kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta.
Ujar beliau, kerjasama negara mesti diperluaskan demi kepentingan bersama agar rakyat terus menikmati faedah yang lebih bermanfaat
“Saya berharap China dan Malaysia, bersama-sama semua negara lain dapat menjunjung tinggi obor multilateralisme, menghapuskan awan gelap unilateralisme dan akhirnya membawa langit cerah kepada pembangunan bersama, keamanan dan kestabilan untuk dunia dan seluruh manusia,” katanya. – MalaysiaGazette