SUNGAI PETANI – Selepas 13 hari menjadi buruan polis selepas berjaya memboloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, akhirnya Long Tiger berjaya diberkas di sebuah kediaman di kebun tebu, Jalan Kuala Ketil di sini, hari ini.
Abdul Hamim Ab Hamid, 32, lelaki etnik Rohingya itu diberkas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman kira-kira jam 3.15 petang tadi.
Sumber MalaysiaGazette berkata, sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak polis, suspek cuba meloloskan diri melalui bumbung tetapi berjaya dicekup.
“Suspek dilaporkan mengalami kecederaan di kepala, dada, bibir serta tangan susulan tergelincir jatuh dari bumbung ketika cuba melarikan diri.
“Selain Long Tiger, polis turut menahan seorang lelaki berperwatakan perempuan berusia 46 tahun di dalam salah sebuah bilik di kediaman tersebut,” kata sumber.
Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarulzaman Mamat ketika dihubungi MalaysiaGazette enggan mengulas berhubung tangkapan tersebut.
“Sidang media berkaitan tangkapan akan dilakukan polis Kontinjen Johor,” ulasnya ringkas.
Selain itu, Facebook rasmi Polis Johor turut memaklumkan satu sidang media khas berhubung kejayaan tangkapan suspek dikehendaki akan diadakan esok oleh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Media sebelum ini melaporkan Long Tiger melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor pada 15 Disember lalu melalui pintu utama mahkamah pada jam 11.55 pagi sebelum perbicaraan bermula.
Sebelum kejadian itu, suspek telah diambil oleh pihak polis di penjara Sungai Udang, Melaka sehari sebelum kejadian untuk perbicaraan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.
Prosiding yang sepatutnya bermula pada jam 10 pagi ditangguhkan sementara menunggu kehadiran peguam bela tertuduh.
Bagaimanapun, beberapa anggota polis yang membawa suspek ke mahkamah menyedari tertuduh melarikan diri apabila melihat dia keluar ke pintu utama mahkamah menuju ke pagar. – MalaysiaGazette