HULU LANGAT – Penduduk setempat di daerah ini yang terjejas akibat banjir minggu lalu bukan sahaja diselubungi kebimbangan, malah trauma sekiranya bencana alam itu berulang kembali.
Rata-rata penduduk yang ditemui MalaysiaGazette berkongsikan perasaan trauma mereka sekiranya berlaku hujan lebat, sehingga ada yang sukar melelapkan mata.
Dalam masa sama, mereka turut meluahkan rasa keletihan melampau gara-gara membersihkan kawasan sekitar rumah dan mencuci lantai kesan daripada lumpur yang tebal.
Seorang penduduk, Hafiz Abdul Kadir, 43, tidak menyangka rumah yang baru disewa olehnya kira-kira sebulan lalu itu tenggelam akibat banjir.
Jelas Hafiz, sebelum ini dia bersama isteri dan empat anak menetap di Jalan Genting Klang sebelum berpindah ke Kampung Jawa, di sini.
“Masih lagi trauma kerana keadaan paras air menunjukkan trend peningkatan jadi memang kena berhati-hati, lagipun amaran dah keluar.
“Penduduk pun kena sentiasa berwaspada lebih-lebih lagi dengan adanya kemungkinan gelombang kedua banjir.
“Tapi kita harap ianya takkan terjadi lagi peristiwa sama dan pihak berwajib tolonglah tengok apa yang patut seperti sistem perparitan atau sungai yang terjejas, kita minta supaya ada pemantauan kerana (banjir) kali ini menyebabkan banyak nyawa yang terkorban,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Hafiz lagi, berdasarkan pengalaman penduduk yang sudah lama menetap di kampung itu, banjir yang berlaku baru-baru ini merupakan kejadian paling buruk dalam masa 40 tahun.
Sementara itu, seorang suri rumah, Rosni Mohamad, 36, berkata, setiap kali terdengar bunyi hujan, dia akan mula merasa gelisah dan khuatir akan keselamatan dua anaknya.
“Memang kena siap sedia setiap kali hujan lebat, kalau sehari masih okay tapi bila sudah masuk hari kedua atau ketiga mungkin akan trauma terutamanya waktu malam.
“Nasib kami baik kerana dikejutkan oleh jiran sebelah kerana ketika kejadian saya bersama anak-anak sedang tidur, kalau tidak saya sendiri tidak pasti dengan nasib kami anak beranak,” ujarnya.
Bagaimanapun, menurut Rosni, dia amat bersyukur kerana masih terselamat daripada bencana yang berlaku walaupun kesemua perabot di dalam rumahnya rosak.
“Nak buat macam mana sudah ditentukan nasib kami sebegini, dah selamat nyawa pun bersyukur, barang rumah ini bila ada duit barulah kita beli sedikit demi sedikit,” katanya yang sudah menetap di kampung itu sejak tujuh tahun lalu.
Sementara itu, seorang penduduk dari Batu 15 1/4, Dusun Tua di sini, Mohd Riffin Arsat, 59, tidak menyangka musibah yang berlaku begitu pantas baru-baru ini telah meranapkan rumah miliknya.
Mohd Riffin yang masih trauma, ibarat hidup dalam ketakutan ketika ini gara-gara melihat rumah yang didiami lebih 31 tahun itu hampir separuh daripada strukturnya sudah menyembah bumi.
“Memang trauma betul, takut perkara sama berulang, ada berita akan ada banjir sekali lagi, memang takut untuk penduduk di sini.
“Kalau boleh biarlah ada amaran awal supaya semua penduduk dapat terima maklumat yang sebenar.
“Walaupun hati saya hancur tengok keadaan rumah, apa boleh buat kena terima qadak dan qadar kerana ini sudah suratan takdir,” katanya yang menumpang di rumah saudara di Ampang buat sementara waktu.
Terdahulu, antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir di daerah ini lewat malam Sabtu lalu ialah Batu 25, Sungai Lui; Batu 16; Batu 17; Batu 18; Kampung Sungai Serai serta Taman Sri Nanding. – MalaysiaGazette