Home Nasional Penduduk Maran siap sedia jika banjir lagi

Penduduk Maran siap sedia jika banjir lagi

Mangsa banjir di sekitar Maran ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara turut mendapat rawatan dan pemeriksaan kesihatan.

MARAN – Sudah berdepan dua kali banjir tahun ini, penduduk Maran pasrah jika terpaksa meredah air lagi selepas diminta bersedia menghadapi gelombang seterusnya.

Seorang wanita, Julaila Mat Tier, 49, mengakui peritnya melalui pengalaman banjir tetapi dia  menerima musibah ini dengan sabar malah sudah siap sedia dengan kekuatan mental dan fizikal.

“Siapa yang mahu musibah apatah lagi tahun ini dah dua kali alami banjir. Dari segi mental memang agak sukar untuk diterima, namun sebagai hamba Allah, kita perlu menerima segala ketentuan illahi. Insya Allah kami perlu tenang.

“Walaupun payah, tetapi setakat ini bantuan yang diberikan oleh kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan sentiasa cukup,” katanya dnegan tenang.

Julaila Mat Tier

Berkongsi pengalaman banjir kali ini, Julaila berkata, air di kawasan rumahnya naik hingga paras pinggang dan masih belum surut.

“Mujur air tak laju. Saya sudah pun menyelamatkan barang-barang rumah dari awal lagi.

”Cuma nanti rumah perlu dibersihkan,” tambahnya.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang menjangkakan gelombang kedua akibat limpahan air dari hulu ke beberapa daerah seperti Maran, Temerloh, Bera dan Pekan berlaku pada penghujung Disember ini.

Adam Haikal Israfi

Sementara itu, Adam Haikal Israfi, 24, pula menambah, dia sudah empat kali menjadi mangsa banjir, justeru dia sudah bersiap sedia jika banjir gelombang kedua melanda.

“Kita tiada pilihan selain siap sedia untuk ditempatkan di PPS, asalkan semuanya selamat, tiada apa-apa lagi yang kita perlu bimbang,” tambahnya.

Beliau ditempatkan bersama ibu bapa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Batu 13 Jengka berpuas hati dengan layanan dan perlindungan yang diberikan.

“Barang makanan, kit kebersihan, alas tidur, bantal disumbangkan memang cukup kepada semua mangsa banjir di sini. Alhamdulillah,” ujarnya.

Malah, dia turut melahirkan rasa syukur kerana pada tahun ini mangsa banjir mendapat bantuan khas bencana banjir bernilai RM500 oleh Kerajaan Negeri Pahang kepada mangsa-mangsa banjir. – MalaysiaGazette