PEKAN – Meskipun ditenggelami air, tiga buah sekolah tetap dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk mangsa-mangsa banjir.
Sekolah-sekolah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, SK Pulau Manis dan SK Acheh.
Ketiga-tiga PPS ini tenggelam sedalam tujuh kaki, tetapi aras dua dan tiga bangunan tersebut masih selamat boleh digunakan sebagai tempat perlindungan.
Seorang mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Pulau Manis, Zulkarnain Mod Razali, 56, sudah tiga kali dia menginap di sini ketika rumahnya ditenggelami air.
Dia berpindah ke sini bersama 12 ahli keluarganya.
“Saya akur duduk sementara di sini kerana lebih selamat.
“Lagipun semua kemudahan di sini cukup walaaupun aras bawah ditenggelami air,” katanya.
Menurutnya, walaupun kawasan itu masih banjir tetapi penghuni PPS ni masih dilawati pelbagai agensi swasta dan kerajaan, dan terkini baru dilawati oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Walaupun selesa berada di PPS ketika ini, Zulkarnanin menaruh harapan agar tidak berlaku gelombang kedua.
”Orang kampung di sini sudah lali dan berpengalaman menghadapi banjir dan persiapan awal oleh kerajaan negeri membantu semua mangsa banjir di Pekan sangat dihargai,” katanya.
Sehingga kini 24 PPS masih dibuka menempatkan 1,804 mangsa banjir melibatkatkan 575 keluarga. – MalaysiaGazette