Home Nasional Jangan pandai komen jika tak turun bantu mangsa banjir – Shahidan

Jangan pandai komen jika tak turun bantu mangsa banjir – Shahidan

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim menyampaikan bantuan dan beramah mesra dengan salah seorang mangsa banjir pada Program Penyerahan Bantuan Wang Ihsan di Kampung Pasir Baru, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Shahidan Kassim membidas pihak-pihak yang hanya tahu memberikan pelbagai komen tetapi tidak turun membantu mangsa banjir.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, hanya mereka yang turun membantu  sahaja mengetahui berhubung situasi sebenar yang dihadapi oleh mangsa bencana terbabit.

“Ini ada orang yang tak perlu dan tak datang ke banjir pun dia komen macam-macam. Orang yang datang ke banjir itu, dia sendiri mengetahui tentang apa yang harus dibuat.

“Saya tak komen banyak, saya buat kerja berdasarkan pemakluman daripada kawan-kawanlah. Macam hari ini, beberapa menteri ada di Hulu Langat dan mereka minta bantuan…kita (DBKL) memang sudah ada di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan wang ihsan kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Pasir di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai pandangannya berhubung desakan sesetengah pihak  berhubung isu pengeluaran simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Shahidan berkata, pandangannya sama seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

“Saya tak mahu komen apa sebab masing-masing ada pandangan…kalau saya beri pandangan nanti saya nak kena tengok sama ada pandangan saya melanggar perlembagaan parti atau pun tidak.

“Pandangan saya hanya bersama dengan Perdana Menteri bahawa wajar kita tengok dan perhalusi walaupun apa orang komen itu terpulang,” ujarnya.

Tambah Shahidan, bagi mereka yang memerlukan untuk mendapatkan pinjaman daripada pelbagai pihak seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) mereka boleh berbuat demikian.

Manakala katanya, bagi mereka yang tidak memerlukan bantuan mereka tidak perlu membuat sebarang kenyataan kerana apa yang dibuat oleh kerajaan adalah yang terbabik untuk rakyat.

Sebelum ini, Perdana Menteri tidak bercadang membenarkan pengeluaran i-Citra KWSP  sekali lagi walaupun didesak beberapa pemimpin politik selepas rakyat berdepan bencana banjir.

Katanya, ia berikutan kerajaan sudah menyediakan bantuan kewangan kepada syarikat dan individu bagi meringankan beban mereka yang terjejas. – MalaysiaGazette