Home Nasional Kudung tangan kanan tidak jadi penghalang pelajari Silat Cekak

Kudung tangan kanan tidak jadi penghalang pelajari Silat Cekak

Nurhidayu, ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) Universiti Sains Malaysia.

GEORGE TOWN – “Pada awalnya saya sendiri tidak yakin untuk belajar silat kerana menganggap ia aktiviti yang agak lasak bagi wanita yang berstatus berkelainan upaya seperti saya,” kata ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) Universiti Sains Malaysia (USM), Nurhidayu Abd Rahman.

Bagaimanapun, Nurhidayu, 23, yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Sastera (Georgrafi) USM berkata, tanggapannya itu meleset apabila dia berjaya menamatkan latihan asas seni silat itu baru-baru ini.

Jelas anak kelahiran Pantai Remis, Perak itu, tidak mudah baginya untuk mempelajari seni Silat Cekak namun keazaman dan dorongan jurulatih serta ahli persatuan membuatkan dia berjaya memiliki ilmu seni pertahankan diri walaupun kudung tangan kanan sejak lahir.

“Saya memang meminati seni mempertahankan diri ketika di bangku sekolah tetapi tidak yakin untuk menceburi bidang itu sehingga melangkah ke USM.

Nurhidayu bersama salah seorang jurulatih wanita Silat Cekak USM menunjukkan antara latihan asas yang dipelajari menerusi seni pertahankan diri itu.

“Ketika di semester pertama USM, ada rakan yang mengajak saya menyertai PSSCM kerana dia tahu minat saya terhadap seni mempertahankan diri.

“Selain itu, keluarga sentiasa memberi sokongan untuk saya mempelajari ilmu silat ini kerana ia bukan hanya bermatlamat untuk mempertahankan diri tetapi juga mahu meningkatkan keyakinan diri,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di USM baru-baru ini.

Tambah Nurhidayu, banyak perkara yang dipelajarinya selama tiga tahun menyertai seni silat ini selain dapat menjadi contoh kepada OKU lain untuk menceburi bidang yang diminati seperti dirinya.

“Kejayaan saya menamatkan latihan asas silat ini pasti membuka ruang buat golongan berstatus OKU di luar sana untuk sama mencapai impian mereka tanpa perasaan rendah diri.

Nurhidayu memasang impian untuk menyertai pertandingan atau acara seni mempertahankan diri kategori paralimpik.

“Selain itu, apa yang saya perhatikan masih ramai anak muda yang ingin menyertai seni mempertahankan diri ini sekali gus membuktikan ia masih popular di era teknologi kini,” ujar anak sulung daripada tiga beradik.

Kata Nurhidayu, dia juga memasang impian untuk menyertai pertandingan atau acara seni mempertahankan diri kategori paralimpik.

Sementara itu, Penasihat PSSCM USM yang juga jurulatih, Prof Madya Dr. Abdul Hafiz Ab Majid berkata, seni silat berkenaan sesuai dipelajari golongan OKU berikutan langkah pergerakannya yang mudah.

“Kita punyai jurulatih wanita berinovasi untuk mengubah buah (pukulan) dalam Silat Cekak ini sekali gus membolehkan Nurhidayu mempelajarinya.

Prof Madya Dr Abdul Hafiz.

“Saya gembira melihat Nurhidayu yang kini  tampak lebih yakin dan berani mencuba berbanding awal penyertaannya,” kata beliau.

Untuk rekod, terdapat 300 ahli PSSCM di USM. – MalaysiaGazette