Home Ekonomi Pelabuhan Klang pecah rekod baharu pengendali kontena tahun ini

Pelabuhan Klang pecah rekod baharu pengendali kontena tahun ini

Sekumpulan burung berterbangan semasa matahari terbenam berlatar belakangkan Pelabuhan Klang yang merupakan pelabuhan terbesar dan tersibuk di Malaysia ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette. Foto MOHD ADZLAN, 08 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Pelabuhan Klang memecah rekod pengendalian kontena apabila mencapai 13.64 juta bersamaan dua puluh kaki (TEU) setakat semalam.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, jumlah ini mengatasi rekod tahun lalu iaitu sebanyak 13.58 juta TEU.

Katanya, operator terminal di Pelabuhan Klang iaitu Northport dan Westports menguruskan operasi dengan cemerlang dalam mengendalikan jumlah tambahan kontena.

Beliau berkata, kedua-dua terminal berkenaan berjaya mengoptimumkan sumber sedia ada dan bergantung kepada peningkatan penggunaan pendigitalan untuk mengatasi pelbagai cabaran.

“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran seperti Covid-19 serta kesan kekurangan kontena, kesesakan pelabuhan dan yang terkini iaitu keadaan cuaca buruk, namun Pelabuhan Klang telah berjaya dan telah mencapai prestasi cemerlang dengan mengatasi rekod tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan.

Jelas Ka Siong, sebahagian besar kejayaan ini hasil komitmen dan usaha bersepadu pemain logistik dan agensi kerajaan di Pelabuhan Klang yang diketuai Lembaga Pelabuhan Kelang.

Ujarnya, kerajaan dalam masa yang sama memudahkan sektor Pelabuhan dan Logistik Malaysia ketika pandemik Covid-19 dengan memastikan industri tersebut mampu memenuhi permintaan pasaran domestik dan antarabangsa.

“Bagi pengguna yang memanfaatkan platform e-dagang, beberapa pakej rangsangan ekonomi telah diperkenalkan bagi mempercepatkan proses pengedaran dan penghantaran termasuk juga pelancaran program vaksinasi untuk pekerja sektor pelabuhan dan logistik pada Jun 2021 telah sedikit sebanyak memberikan jaminan dan perlindungan kepada industri untuk meneruskan operasi secara penuh,” katanya.

Ka Siong berkata, sehingga November 2021 (berbanding Januari hingga November 2020), jumlah import mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus berbanding prestasi tahun 2020.

Manakala eksport pula menyaksikan pertumbuhan sebanyak 4.8 peratus, manakala transhipment meningkat sebanyak 5.6 peratus.

Beliau menjangkakan, jumlah pengendalian kontena harian Pelabuhan Klang dijangka mencapai 13.75 juta TEU menjelang akhir tahun, dan pencapaian ini merupakan prestasi terbaik sejak operasi kontena bermula pada 1973. – MalaysiaGazette