Home Nasional Penyelidik bentang cadangan tangani bencana alam – Menteri

Penyelidik bentang cadangan tangani bencana alam – Menteri

Menteri di Jabatan Perdan Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini bencana banjir di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Sekumpulan penyelidik dari beberapa buah universiti hari ini membentangkan beberapa cadangan dalam menangani kejadian bencana alam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, cadangan itu dibentangkan kepadanya dan akan dibawa ke mesyuarat pertama Kabinet yang akan berlangsung pada Januari tahun depan.

Katanya, kesemua penyelidik berkenaan merupakan mereka yang pakar dalam kajian bencana alam.

“Saya ada nota catatan berkenaan perkara yang dicadangkan… ada jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

“Pada saya peluang yang saya buat tadi bila ada waktu dan masa kita merenung lebih mendalam lagi panduan-panduan yang mereka katakan… cuma mereka perlu data yang lebih tepat.

“Sebab itu saya minta dalam masa 10 hari sebelum mesyuarat Kabinet pertama yang akan diadakan pada 12 haribulan Januari saya ada data yang lengkap,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Abdul Latiff memberitahu, beliau berharap kerajaan dapat menerima cadangan-cadangan penyelidik itu kerana mereka merupakan akademia yang banyak melakukan kajian dan libat urus.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Abdul Latiff berkata, sehingga jam 12 tengahari hari ini, sebanyak lima buah negeri masih terkesan dengan bencana banjir.

Katanya, sebanyak 14 daerah di seluruh negara masih terjejas iaitu di Kelantan, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

Ujarnya, seramai 9,414 orang mangsa daripada 2,708 ketua isi rumah direkodkan masih berlindung di 93 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Jumlah kumulatif mangsa terkesan bencana banjir di seluruh negara adalah seramai 116,273 orang daripada 31,949 ketua isi rumah,” ujarnya.

Menurut Abdul Latiff, sehingga jam dua petang ini, operasi banjir seluruh negara melibatkan 40,813 orang anggota agensi responder menggunakan sejumlah 3,419 gabungan aset daripada pelbagai agensi.

Tambahnya, bagi edaran bekalan makanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membuat 465,092 makanan yang dibungkus dan disediakan sebanyak tiga kali sehari termasuk keperluan asas kepada mangsa-mangsa yang terkesan banjir. – MalaysiaGazette