Home Seni Hidup UTeM sumbang kepakaran bantu pemuliharaan Sungai Kim Kim

UTeM sumbang kepakaran bantu pemuliharaan Sungai Kim Kim

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyumbangkan kepakaran dalam konteks pendidikan bagi usaha pemuliharaan Sungai Kim Kim.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyumbangkan kepakaran dalam konteks pendidikan bagi usaha pemuliharaan Sungai Kim Kim.

Sungai di Pasir Gudang, Johor itu yang tercemar sejak tahun 2019.

Berteraskan konsep University for Society (U4S) maka UTeM bersama tiga buah universiti lain iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berganding bahu menyumbang kepakaran bidang masing-masing bagi memulihkan semula Sungai Kim Kim.

Pengarah Pusat Kolaborasi Industri dan Masyarakat, Pejabat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) UTeM, Prof Madya Ts. Dr. Effendi Mohamad berkata, UTeM terpilih bagi menjayakan program ini bagi berkongsi kepakaran menerusi cabang pendidikan kepada masyarakat sekitar.

Jelasnya, menerusi skop pendidikan, UTeM telah membangun dan melaksanakan lapan program bagi memberikan pendidikan dan kesedaran langsung kepada generasi muda sekitar Pasir Gudang akan kepentingan Sungai Kim Kim.

Program-program yang menerapkan elemen teknikal dan teknologi itu menyasarkan kepada ribuan pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Pasir Gudang dan negeri Johor.

Katanya, antara program yang telah dianjurkan adalah pertandingan Smart River Cleaning Robot Challenge 2020 yang disertai oleh pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Pasir Gudang.

UTeM menjayakan program pendidikan kesedaran bersama dengan pihak sekolah di Pasir Gudang, Johor.

“Kesinambungan itu bertemakan “Melestari Kesejahteraan Sungai Kim Kim Pasir Gudang” sebanyak tiga siri webinar dan tiga siri forum telah dijalankan melibatkan panel dan peserta dari industri dan komuniti.

“Program ini telah dianjurkan bermula Julai 2020 hingga Oktober 2021 dengan objektif memupuk kesedaran, memberi pendidikan serta perkongsian ilmu antara universiti dan komuniti,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Effendi berkata, program yang sama bertujuan untuk menguji tahap kreativiti dan inovasi serta kemahiran berfikir pelajar dalam menyelesaikan masalah berkaitan dengan pencemaran Sungai Kim Kim.

“Ia juga merupakan strategi untuk melahirkan teknologis dan jurutera yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa serta dapat mendepani cabaran Revolusi Industri (IR) 4.0,” katanya lagi.

Mengulas lanjut Effendi berkata, sehingga hari ini program ini terus berkesinambungan yang mana pengisian terbaru yang sedang dilaksanakan adalah Sungai Kim Kim Clean Tech Competition.

Ianya dilaksanakan secara dalam talian mulai 25 November lalu hingga 21 Januari 2022 yang berobjektif untuk memberi ruang alternatif kepada pelajar sekolah menengah dan rendah dalam mempamerkan kreativiti mereka dengan menghasilkan kandungan kreatif digital bertemakan “Sains dan Teknologi dalam memelihara serta memulihara Sungai Kim Kim”.

Tambahnya lagi, pertandingan itu diharapkan dapat memberikan impak kepada peningkatan pembangunan pelajar yang berkemahiran tinggi dalam menyelesaikan masalah dan juga kepentingan dalam penjagaan kebersihan dalam pemuliharaan ekosistem sungai-sungai.

Antara pihak yang bersama menjayakan program ini adalah Jabatan Pengairan dan Saliran Johor, ST Microelectronic Sdn Bhd, UTeM Holdings, Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang, IEEE Oceanic Engineering Society, IEEE Malaysia AP/MTT/EMC Joint Chapter dan Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sekaligus menjadikan program ini di jalankan melalui pendekatan kerjasama berbentuk Quadruple Helix.- MalaysiaGazette