Home Nasional Wak tokan ‘taiko dadah’ antara 139 ditahan polis

Wak tokan ‘taiko dadah’ antara 139 ditahan polis

 

MELAKA – Seorang ‘taiko dadah’ warga Indonesia dikenali Wak yang memiliki pelbagai jenis dadah, termasuk air ketum, ditahan dalam Op Tokan Jalanan yang dilakukan di sekitar Melaka pada Jumaat hingga Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, lelaki berusia 50 tahun itu adalah antara 139 yang ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti penagihan dan pengedaran dadah di negeri ini.

Menurutnya, serbuan terhadap suspek yang berasal dari Indonesia dan rakannya, lelaki tempatan berusia 46 tahun, dibuat di sebuah pangsapuri di Taman Malim Jaya pada jam 5.40 petang Ahad lalu.

“Hasil pemeriksaan di bilik rumah terbabit, polis menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah heroin anggaran berat 15.90 gram.

“Turut ditemui 20 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah syabu seberat 29.40 gram dan dua keratan timah warna merah/silver berisi bahan disyaki Erimin 5 seberat 0.50 gram.

“Pemeriksaan turut menjumpai satu bungkusan disyaki cecair ketum seberat satu liter,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Tambah beliau, hasil ujian saringan awal polis mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama selain Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, ujarnya.

Mengulas lanjut, Zulkiflee berkata, kesemua 139 individu yang ditahan dalam operasi berkenaan membabitkan 127 lelaki termasuk dua warga asing dan 12 wanita berusia antara 18 hingga 72 tahun.

“Hasilnya, polis merampas pelbagai jenis dadah dengan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM26,500.

“Tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 membabitkan dua buah motosikal yang disita bernilai RM10,000,” katanya. – MalaysiaGazette