Home Seni Hidup YAM bantu, santuni keperluan mangsa banjir

YAM bantu, santuni keperluan mangsa banjir

ANTARA misi bantuan dan kerja-kerja pembersihan dilaksana oleh YAM bagi ringankan beban mangsa.

KUALA LUMPUR – Bencana banjir melanda bukan sahaja menyebabkan kehilangan nyawa malah turut memusnahkan harta benda penduduk di kawasan terjejas dan kerugiannya mencecah jutaan ringgit.

Prihatin dengan kesusahan serta nasib menimpa mangsa, mendorong Yayasan Amal Malaysia (YAM) menggerakkan pelbagai inisiatif menyantuni keperluan mangsa banjir seterusnya meringankan beban mereka.

Presidennya, Hussin Ismail berkata, sehingga kini, YAM telah memperuntukkan sejumlah RM70,000 bagi melaksanakan beberapa misi bantuan banjir di pelbagai lokasi seluruh negara dengan objektif  menyalur sumbangan untuk keperluan mangsa.

Beliau berkata, antara inisiatif dilaksanakan bagi membantu keperluan mangsa yang utama adalah program Dapur Rakyat dengan fungsinya sebagai tempat penyediaan makanan panas untuk diagihkan kepada mangsa yang terjejas.

Secara purata, katanya, Dapur Rakyat beroperasi di empat lokasi berupaya menyediakan makanan panas sebanyak 600 pek setiap hari bermula 20 Disember 2021 untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang serba memerlukan.

“Lokasi operasi dapur ialah berhampiran kawasan bencana antaranya Pusat Dakwah Serantau YAM di Bangi, Kampung Delek, Kota Raja dan Kuantan, Pahang, turut berfungsi jadi pusat pengumpulan bantuan sebelum diagih kepada mangsa banjir memerlukan,” katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.

Selain menyediakan keperluan makanan, YAM turut mengagihkan sumbangan barang keperluan seperti set kebersihan diri, toto, selimut, makanan kering dan ringan selain set dapur memasak dan lain-lain keperluan sesuai.

Menurut Hussin, peruntukan yang disediakan itu turut meliputi belanja Ops Bersih banjir mulai 23 Disember di kasawan sekitar Labohan Dagang, Bukit Changgang, Banting.

“YAM menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat termasuk sukarelawan yang catat penyertaan memberangsangkan dan menunjukkan ramai rakyat yang prihatin ingin turut serta dalam misi banjir kali ini.

“Berdasarkan rekod, lebih 200 sukarelawan turut serta di Labuhan Dagang untuk kerja pembersihan kawasan bencana. Selain itu, 1,000 sukarelawan dari Kelantan turun ke Pahang untuk membantu mangsa banjir di sana serta 100 petugas dari Terengganu mengambil bahagian dalam misi kemanusiaan ini,” jelasnya.- MalaysiaGazette