Home Politik Johor rintis penilaian MCA hadapi PRU15 – Ka Siong

Johor rintis penilaian MCA hadapi PRU15 – Ka Siong

Wee Ka Siong

JOHOR BAHRU – Kerja-kerja penilaian MCA bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dimulakan di Johor, kata Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

Katanya, jentera parti itu di seluruh negara telah diarahkan membuat persiapan bagi menghadapi PRU-15 yang akan diadakan bila-bila masa.

“Pada tahun 2022, sudah empat tahun selepas PRU-14 diadakan sejak Mei 2018, dan PRU akan datang mungkin boleh diadakan dalam tempoh maksimum 18 bulan akan datang. Jadi dalam keadaan ini kita perlu bersiap siaga.

“Kita akan mulakan kerja-kerja penaziran di Johor terlebih dahulu, iaitu kerja-kerja persiapan oleh satu pasukan khas daripada MCA pusat untuk melihat di mana kelemahan agar boleh diperbaiki dan diaudit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor yang diadakan secara hibrid di Ibu Pejabat MCA Johor, di sini, hari ini.

Johor dipilih menjadi perintis terhadap penilaian yang dilakukan itu memandangkan ia merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Ka Siong memberitahu, MCA bersedia meletakkan seramai mungkin calon baharu dalam menghadapi gelombang generasi muda pada PRU15.

Bagaimanapun parti itu akan memastikan calon berkaliber termasuk calon yang boleh menguasai bahasa Melayu dengan baik diletakkan pada pilihan raya umum itu.

“Kesan daripada Undi-18, beberapa kawasan seperti Parlimen Iskandar Puteri akan menyaksikan pertambahan seramai 300,000 pengundi, manakala Parlimen Tebrau seramai 290,000 pengundi.

“Ini merupakan tekanan besar, kawasan sedemikian perlu ada strategi dan percaturan lebih baik dan kita rasa pendekatan baharu perlu digunakan untuk persiap calon daripada segi mentaliti mereka,” katanya. – MalaysiaGazette