Home Nasional Pekan lama Sungai Lembing dinaiki air lagi

Pekan lama Sungai Lembing dinaiki air lagi

Air sungai lembing mulai melimpah ke pekan lama Sg Lembing petang ini.

KUANTAN – Belum lagi selesai kerja pembersihan di sekitar pekan lama Sungai Lembing, kawasan sejarah perlombangan emas itu sekali lagi dinaiki air apabila mengalami hujan berterusan sejak petang semalam.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati aras air yang lebih tinggi di Sungai Lembing berbanding semalam.

Hujan lebat pada sebelah malam menyebabkan air mula melimpah pada petang ini.

Paras air Sungai lembing kini berada pada paras kuning iaitu paras waspada pada ketinggian 34.25 meter.

Air sungai lembing mulai melimpah ke pekan lama Sg Lembing petang ini.

Selain itu, kejadian pokok tumbang berlaku berhampiran jalan masuk ke pekan lama Sungai Lembing dan tanah runtuh berskala kecil berlaku di tebing sungai itu.

Turut kelihatan 150 pasukan sukarelawan dari Johor bersama 40 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) membersihkan jalan utama dan membuang sampah ketika hujan lebat.

Sementara itu, air mula naik di sekitar di kawasan ladang kelapa sawit sekitar Panching dan perkampungan Sri Damai di Sungai Belat.

Sehingga kini jumlah mangsa banjir di Pahang ialah 5,459 orang melibatkan 41 Pusat Pemindahan Sementara (PPS). – MalaysiaGazette