JOHOR BAHRU – Seramai 4,309 pegawai dan anggota polis telah bersedia untuk menghadapi banjir yang dijangka melanda Johor pada awal Januari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah itu melibatkan 415 pegawai dan 3,894 anggota di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negeri.
“Sebanyak 25 lokasi hot spot telah dikenalpasti yang berkemungkinan berlaku banjir di seluruh Johor. Daerah Johor Bahru, Muar dan Kota Tinggi memiliki jumlah lokasi tertinggi iaitu empat lokasi masing-masing.
“Selain itu kita juga telah mempersiapkan pelbagai aset antaranya 30 buah bot, 63 kenderaan pacuan empat roda, 43 set generator, 32 buah van dan 10 buah khemah,”katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran Santai Cycle Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor 2021 di IP Johor, di sini, hari ini.
Turut hadir isterinya yang juga Pengerusi Perkep Johor, Datin Zalena Mohd Ariffin.
Semalam menerusi kemaskini laman Facebook, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu semua agensi berkaitan bersiap siaga dan bertindak pantas dalam menghadapi banjir susulan laporan ramalan awal yang mejangka bencana itu berlaku esok. – MalaysiaGazette