Home Nasional i-Citra: Perdana Menteri, dengarlah rintihan rakyat – Pencarum

i-Citra: Perdana Menteri, dengarlah rintihan rakyat – Pencarum

Presiden NGO ProRakyat, En. Khairul Anuar Othman hadir ke Perhimpunan Aman Solidariti Pencarum Menuntut Wang KWSP RM10K secara sekali bayaran ketika di Ibu Pejabat KWSP, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 31 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Susulan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak bercadang untuk membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan simpanan mereka buat kali terakhir, hari ini pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergelar ProRakyat mengadakan bantahan secara aman.

Presidennya, Khairul Anuar Othman berkata, meskipun keberadaan mereka di hadapan ibu pejabat KWSP hari ini bukan untuk berhimpun mahupun berdemonstrasi, namun dia mahu Perdana Menteri mendengar rintihan rakyat yang terjejas teruk akibat Covid-19 dan banjir besar pada minggu lalu.

“Kami pencarum dalam kepayahan dan kesusahan, bencana banjir bukan sahaja membuat kami menderita dan resah, bencana banjir ini tidak cukup hanya RM1,000 yang diberi oleh kerajaan.

“Tidak cukup RM600 diberi oleh Lembaga Zakat Selangor, kami ini ingin meneruskan kehidupan kami, ada di antara kami yang tiada pekerjaan, dibuang kerja, ada peniaga yang tidak boleh berniaga.

“Kami mengharapkan hari ini menjadi satu detik sejarah bahawa Perdana Menteri dan Tengku Zafrul (Menteri Kewangan), dengarlah suara kami, luluskan i-Citra RM10,000 sekali gus, pertimbangkan suara kami ini,” katanya ketika berucap di luar pekarangan ibu pejabat KWSP, di sini, hari ini.

Pada Ahad lalu, kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang daripada KWSP berjumlah RM10,000, meskipun ramai mangsa terjejas dengan banjir ketika ini.

Perdana Menteri berkata, ia berikutan kerajaan sudah memperuntukkan dana dan mengumumkan bantuan yang mencukupi untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara, selain sedia menambah peruntukan berkenaan.

Selain itu, kerajaan bimbang dengan jumlah baki simpanan dalam akaun pencarum KWSP susulan dua kali pengeluaran menerusi i-Sinar dan i-Citra, dengan ada antaranya berisiko menjadi miskin tegar selepas pencen.

Khairul Anuar juga menyatakan hasrat bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk menyampaikan keluh kesah 15 juta pencarum badan itu yang mahu pengeluaran kali terakhir skim itu.

“Sebenarnya kita sudah hantar memorandum kepada Istana Negara pada 22 Disember lalu, kita juga cuba berjumpa dengan CEO KWSP.

“Jika tidak dapat berjumpa, satu gerakan pencarum untuk ke Parlimen kita serahkan memorandum kepada Perdana Menteri.

“Kami tidak mempunyai ketua, kami hanya pencarum-pencarum yang diberitahu untuk menyuarakan hasrat mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette