KUALA LUMPUR – Dalam mendepani cuaca yang tidak menentu, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) telah membangunkan aplikasi Mycuaca untuk memudahkan rakyat di negara ini mengetahui maklumat terkini berkaitan cuaca.
Biarpun begitu, kesedaran untuk memuat turun aplikasi tersebut sangat kurang.
Ketua Pengarah Met Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, aplikasi tersebut mempunyai maklumat terkini keadaan cuaca di kawasan pengguna serta ramalan untuk tempoh tujuh hari.
“Aplikasi ini memudahkan semua pihak sebenarnya.
“Kita boleh tengok macam kita nak tengok penunjuk jalan mana tidak sesak,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Jelas beliau lagi, sejak bencana banjir baru-baru ini, ramai yang mula memuat naik aplikasi tersebut.
“Sehingga kini hampir 200,000 pengguna telah memuat naik. Sebelum ini sekitar 10,000 sahaja.
“Tetapi ia masih sedikit jika kita bandingkan jumlah penduduk di Malaysia iaitu 32 juta.
“Aplikasi ini percuma dan ia sangat interaktif untuk semua pengguna,” katanya lagi.
Muhammah Helmi berkata, keadaan cuaca Malaysia lebih mudah diketahui dengan Mycuaca.
“Ada yang tunggu maklumat di televisyen ataupun di laman web kami, tetapi dengan Mycuaca, ia lebih memudahkan.
“Kami amat berharap rakyat Malaysia akan memuat turun aplikasi ini untuk kegunaan harian dan boleh merancang perjalanan dengan baik,” katanya. – MalaysiaGazette