HULU LANGAT – Penduduk Taman Desa Raya, di sini, yang menjadi mangsa banjir masih menunggu janji Maritim Malaysia yang mahu menyediakan anggotanya bagi membersihkan kawasan perumahan itu.
Timbalan Pengerusi taman tersebut, Mohd Shukor Ahmad mendakwa, pegawai agensi itu yang datang berjumpa mereka telah berjanji untuk menghulur bantuan tenaga seramai 80 orang.
“Kita tak minta mereka datang tetapi amat bersyukur bila ada pihak yang sudi menawarkan bantuan kerana tempat kami memang teruk dilanda banjir,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette semalam.
Jelas Mohd Shukor, beliau mengharapkan bantuan segera disampaikan memandangkan terdapat mangsa banjir yang tertekan.
“Kami dah cukup tertekan sehingga ada yang trauma melalui saat-saat banjir hingga mencecah bumbung rumah.
“Bila ada pihak yang datang tawar bantuan, kami amat terharu dan terubat juga ‘luka’ akibat banjir,” ujar Mohd Shukor sambil menambah apa pun yang berlaku adalah pengajaran buat mangsa banjir agar tidak mengharapkan bantuan pihak berwajib sepenuhnya bagi menangani masalah banjir.
“Kita buatlah ikut kemampuan penduduk dan setakat ini ramai juga NGO yang datang membantu tanpa bantuan pihak berwajib.
“Saya mohon maaf kalau saya terkasar bahasa tetapi dalam keadaan sekarang, kami mangsa banjir memang tertekan dengan kejadian ini dan janganlah tambah lagi tekanan yang kami tanggung,” ujarnya. – MalaysiaGazette