KUALA LUMPUR – Seorang pengasas produk kecantikan kembali meraih perhatian apabila tiba-tiba rebah ketika berucap di atas pentas.
Video berdurasi 45 saat kini tular di laman media sosial dan netizen mengecam insiden itu dengan mengatakan ia sengaja dibuat bagi meraih perhatian sebagai strategi pemasaran
Namun pengasas produk yang dikenali sebagai Muhammad Iddin Syah Mohd. Fauzi menafikan dia sengaja mencari gimik murahan sebaliknya ia berpunca kerana terlalu penat hingga menyebabkan dirinya rebah atas pentas.
“Ada netizen kata saya tidak sensitif, buat gimik ketika orang sedang susah banjir. Pertama, ia bukan gimik. Kedua, jika anda ikuti saya, kalian akan tahu betapa saya dan pasukan telah membantu mangsa banjir.
“Daripada jadi netizen yang mengecam saja, lebih baik berfikiran positif. Kepada yang meninggalkan komen positif, terima kasih atas semangat kalian,” tulisnya di media sosial.
Iddin sebelum ini pernah tular di media sosial kerana memborong semua juadah para peniaga bazar Ramadan Seberang Jaya dan meminta pemilik kedai sedekahkan juadah berkenaan kepada orang ramai.
Dia juga pernah muncul bersama pihak berkuasa di sekatan jalan raya (SJR) di Pulau Pinang apabila mengedarkan bungkusan produk vitamin C kepada para pemandu kenderaan yang melalui SJR berkenaan.
April lalu, Iddin yang juga pengasas produk ESW telah mengemukakan saman RM1 juta terhadap bekas ejen yang memfitnah dan melemparkan kata-kata kesat ke atas beliau. – MalaysiaGazette