Home Nasional PM akan ketuai Unit Kemiskinan tangani isu jurang pendapatan

PM akan ketuai Unit Kemiskinan tangani isu jurang pendapatan

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim beramah mesra bersama pemilik rumah Iskandar Dzulkarnain Yusof dan Siti Nurulain Mohd Bahiran (kiri) selepas Majlis Penyerahan Kunci Residensi Kuchaimas di Kuchai Lama, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 DISEMBER 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri akan mengetuai inisiatif pembasmian kemiskinan oleh kerajaan melalui penubuhan Unit Kemiskinan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, unit itu akan diwujudkan di peringkat pusat, negeri dan daerah bagi menangani isu kemiskinan dan jurang pendapatan.

“Ini meliputi kemiskinan di bandar mahu pun di luar bandar,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2022 malam ini.

Menurut Ismail Sabri, perkara asas yakni kemiskinan masih menjadi keutamaannya.

“Seperti yang saya janjikan, nilai teras Keluarga Malaysia adalah Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran dan tiada seorang pun yang harus tertinggal,” ujarnya.

Atas semangat keterangkuman yang sama, katanya, kerajaan akan terus memberikan fokus kepada kemajuan dan pembangunan luar bandar di serata Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Sempena Tahun Baharu 2022 ini, marilah kita mencipta sinar baru untuk Keluarga Malaysia, membuat resolusi untuk meraikan persamaan dan mengenepikan perbezaan yang wujud antara kita.

“Marilah bekerja bersama saya dan rakan-rakan di dalam kerajaan untuk meneruskan agenda kemajuan negara tercinta ini.

“Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2022 kepada seluruh Keluarga Malaysia yang saya kasihi,” katanya.- MalaysiaGazette