Home Nasional Tak sempat test power, Geng RXZ ditahan di Pulau Pinang

Tak sempat test power, Geng RXZ ditahan di Pulau Pinang

Kesemua 44 pemilik motosikal berkenaan ditahan di empat inap desa sekitar daerah Timur Laut, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Hasrat sekumpulan geng motosikal jenis Yamaha ‘RXZ’ yang mahu menguji kelajuan motosikal masing-masing tidak kesampaian.

Mereka ditahan menerusi Ops Ambang Tahun Baharu di sekitar Pusat Bandar dan Batu Feringghi hari ini.

Bertindak atas risikan dan maklumat sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) menyerbu empat inap desa yang dipercayai lokasi geng motosikal berkenaan berkumpul bermula pukul 4 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, sebanyak 400 buah motosikal diperiksa dalam operasi tersebut sebelum 44 daripadanya termasuk pemilik dibawa balik ke IPDTL susulan melakukan pelbagai kesalahan termasuk ubah suai motosikal.

Soffian (tengah).

Turut ditahan pemilik motosikal jenis Yamaha Ysuku serta 125z.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati kesemua 44 lelaki yang berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun itu merupakan pekerja swasta, pekerja ladang sawit dan tukang cuci.

Kata Soffian, hasil siasatan juga mendapati kesemua mereka datang dari lima negeri iaitu Perak, Selangor, Johor, Terengganu dan Pahang sebelum berkumpul di inap desa tersebut.

Kesemua mereka yang ditahan datang dari lima negeri di Semenanjung.

“Hasil pemeriksaan pada semua motosikal itu kita dapati pelbagai kesalahan dikenal pasti termasuk menggunakan ekzos bising, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin sisi dan lain-lain.

“Berdasarkan pemeriksaan itu, kita dapati seorang pemilik motosikal mungkin disaman lebih daripada satu kesalahan selain berdepan tindakan motosikalnya disita.

Ubah suai ekzos bising serta nombor pendaftaran fancy antara kesalahan paling banyak dikesan.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan geng motosikal ini berkumpul untuk aktiviti samseng jalanan namun siasatan berhubung perkara tersebut masih dilakukan,” katanya ketika ditemui di pekarangan IPDTL hari ini.

Berdasarkan maklumat daripada pengumpul motosikal berkenaan, 44 buah RXZ itu bernilai hampir RM1 juta. – MalaysiaGazette