Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R. Vidyananthan memberitahu, jumlah tersebut melibatkan 466 keluarga dari Segamat, Tangkak dan Kota Tinggi.
Kota Tinggi menjadi daerah terbaharu dilanda banjir di negeri ini yang menempatkan 16 mangsa banjir daripada empat keluarga.
“Seramai 16 mangsa banjir ini semuanya dari Kampung Bukit Raja Darat yang ditempatkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Ramunia, Pengerang.
“PPS tersebut dibuka pada jam 7.30 pagi tadi dan selain itu tiga PPS baharu dibuka di Segamat pada pagi Ahad yang melibatkan Sekolah Agama (SA) Kuala Paya, Surau Kampung Lubuk Lanjut dan Bukit Limau Manis.
“PPS di SA Kuala Paya yang dibuka pada jam 8 pagi menempatkan 28 mangsa darpada tujuh keluarga dan PPS di Surau Kampung Lubuk Lanjut dibuka jam 8 pagi menempatkan 34 mangsa daripada tujuh keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, PPS di Bukit Limau Manis iaitu paling terkini dibuka pada jam 11.20 pagi menempatkan enam mangsa daripada satu keluarga.
Hujan akan melanda pada sebelah pagi dan tengahari Ahad di Johor Bahru, Muar, Batu Pahat, Segamat, Pontian, Kluang, Kota Tinggi, Mersing, Tangkak dan Kulai.
Bahagian Pengurusan Zon Pantai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan fenomena air pasang besar dijangka Ahad hingga Rabu ini dan untuk itu, penduduk di kawasan berisiko khususnya di Batu Pahat dan Pontian diminta berwaspada.
“Sehubungan itu, orang ramai perlu memantau cuaca dan sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa yang ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, ujarnya, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyediakan bekalan makanan di semua PPS selain mengingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).- MalaysiaGazette