KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku membabitkan lima kawasan di Johor mulai hari ini.
Menurut MET, antara lima kawasan di Johor yang dijangka mengalami cuaca itu yang berpotensi menyebabkan bencana banjir melibatkan Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru.
“Amaran hujan berterusan (bahaya) dijangka berlaku di Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru) sehingga Ahad, 2 Januari 2022.
“Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150mm dalam tempoh 24 jam,” kata MET dalam hantaran terbaru di Facebook rasminya, setakat jam 10.35 pagi ini.
Selain itu, MET juga mengeluarkan amaran berjaga-jaga susulan hujan lebat berterusan yang dikategorikan sebagai buruk berlaku dijangka berlaku di lima negeri mulai hari ini hingga esok.
“Hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin), Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai dan Kota Tinggi).
“Turut dijangka mengalami cuaca sama di Sabah melibatkan Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat sehingga Isnin, 3 Januari 2022.
“Amaran Hujan Berterusan (Buruk) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60mm dalam tempoh 6 jam,” katanya.
Dalam pada itu, penduduk yang berada di beberapa kawasan di empat negeri lain pula diminta berwaspada dengan kadar hujan berterusan yang turun sehingga Selasa ini.
“Hujan berterusan dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh) serta Sabah Pantai Barat (Tuaran, Ranau dan Kota Belud) dan Sandakan (Kinabatangan) sehingga Selasa, 4 Januari 2022.
“Amaran Hujan Berterusan (Waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan,” kata kenyataan itu.
Kata kenyataan itu lagi, penduduk di Lembah Klang dan Perak juga diminta berjaga-jaga kerana hujan berterusan dijangka berlaku sehingga esok.
“Ia melibatkan Perak (Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim), Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya sehingga Isnin, 3 Januari 2022,” katanya kenyataan itu. – MalaysiaGazette