KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) meramalkan Monsun Timur Laut yang menyebabkan hujan berterusan di utara Sabah, Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung akan berlarutan sehingga Selasa ini.
Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, pembentukan awan hujan aktif di Laut China Selatan dan Laut Sulu akan terjadi dan berpotensi menyebabkan hujan berterusan di tiga kawasan terbabit.
“Berdasarkan analisis model MET Malaysia Weather Research and Forecasting Model (MMD-WRF) European Centre for Medium Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS), luruan monsun dijangka berterusan sehingga 4 Januari 2022.
“Dalam masa sama, kawasan barat Sabah dan Sarawak juga dijangka mengalami keadaan cuaca ribut petir yang lebih kerap pada sebelah petang hingga malam,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook rasmi MET Malaysia, hari ini.
Menurutnya, amaran hujan lebat berterusan yang dikategorikan sebagai peringkat bahaya telah dikemaskini bagi barat Johor sehingga 2 Januari 2022.
“Manakala amaran hujan lebat berterusan (Peringkat Buruk dan Waspada) di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu, Pahang, timur Johor dan Sabah sehingga 4 Januari 2022,” katanya.
Selain itu, MET Malaysia juga telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi kategori pertama, kedua dan ketiga bagi perairan Pantai Timur Semananjung sehingga Selasa ini.
“Kedua-dua amaran itu melibatkan timur Johor, Sarawak dan Sabah sehingga 4 Januari 2022.
“Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk kepada laman web www.met.gov.my dan semua platform media sosial untuk semakan lokasi yang berkaitan.
“Orang awam juga boleh memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih,” katanya lagi. – MalaysiaGazette