Home Nasional Warga emas terperangkap akibat banjir diselamatkan APM

Warga emas terperangkap akibat banjir diselamatkan APM

Seorang warga emas yang terperangkap di dalam rumah kerana banjir diselamatkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kampung Sri Makmor, Tangkak hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas yang terperangkap di dalam rumah kerana banjir diselamatkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kampung Sri Makmor, Tangkak hari ini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R.  Vidyananthan berkata, lelaki berusia 80 tahun itu dipindahkan dengan menggunakan ambulans milik APM ke rumah salah seorang anaknya.

“Difahamkan seorang pegawai dan lapan anggota APM membantu memindahkan mangsa yang sakit tua dan tidak larat  berjalan selepas rumahnya dinaiki air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Vidyananthan memberitahu, jumlah mangsa banjir di Johor yang melibatkan lima daerah terus meningkat kepada 2,553 orang pukul 8 malam ini berbanding 2,022 orang pada sebelah petang.

Menurutnya, jumlah itu melibatkan 653 keluarga dari Segamat, Tangkak, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kluang yang ditempatkan di 45 pusat pemindahan sementara (PPS).

Johor Bahru dan Kluang menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dan tiga PPS baharu dibuka di daerah berkenaan antara pukul 4 hingga 6 petang tadi.

Menurutnya, seorang mangsa banjir dari Kampung Paya Nam dipindahkan ke PPS di Dewan Raya Kampung Sungai Tiram di sini.

Sementara itu, seramai 11 mangsa banjir melibatkan dua keluarga dari Kampung Muhibbah dan 11 mangsa melibatkan tiga keluarga dari Kampung Melayu Batu 4 di Paloh, Kluang, masing-masing dipindahkan ke PPS di Balai Raya Kampung Muhibbah serta Balai Komuniti Kampung Melayu Batu 4.-MalaysiaGazette