Home Nasional 500 penduduk Kampung Morten takut kampung jadi ‘pulau’

500 penduduk Kampung Morten takut kampung jadi ‘pulau’

Kampung Morten

MELAKA – Kira-kira 500 penduduk kampung tradisional Melaka, Kampung Morten, merayu kerajaan membaikpulih kerosakan tembok tebing Sungai Melaka yang didakwa menjadi punca banjir di kampung berusia lebih 100 tahun itu.

Penduduk, Amnah Othman, 63, berkata, kejadian banjir akibat fenomena air laut pasang besar yang mengalir melalui Sungai Melaka ke kampung itu yang terletak di pusat bandar Melaka semakin kerap berlaku sejak tahun lalu.

Dalam kejadian terbaharu semalam dan hari ini katanya, paras banjir naik sehingga paras 0.4 meter, sekali gus menjadikan Kampung Morten yang mempunyai kira-kira 110 buah rumah seperti sebuah ‘pulau’.

“Sebenarnya, sudah lama kampung ini tidak dilanda banjir, tapi sejak tahun lalu, sudah lebih empat kali air sungai melimpah masuk ke dalam kampung berpunca daripada kerosakan tembok tebing sungai.

Amnah Othman

“Bila air laut pasang, paras air Sungai Melaka meningkat dan air sungai akan mengalir masuk melalui celah-celah tembok yang rosak mengakibatkan banjir di beberapa buah rumah khususnya yang berdekatan Sungai Melaka,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, dia yang merupakan penduduk asal kampung terbabit berharap kerajaan negeri dapat segera membaikpulih tembok berkenaan demi keselamatan penduduk dan pelancong di kawasan terbabit.

Pandangan sama dikongsi penduduk, Kamariah Yusof, 57, yang merayu keprihatinan kerajaan untuk mempercepatkan peruntukan memperbaiki kerosakan tembok tebing berkenaan.

“Saya harap pihak berkaitan segera mencari jalan penyelesaian lebih-lebih lagi ini adalah kawasan pelancongan terkenal dunia yang mana kejadian sebegini tentunya akan menjejaskan imej kerajaan jika dibiarkan berlarutan.

Kamariah Yusof

“Walaupun paras air tidaklah tinggi sehingga menyebabkan kerosakan besar, namun keadaan itu merimaskan penduduk dan pelancong yang berkunjung ke kampung bersejarah ini,” katanya. – MalaysiaGazette