Home Pendapat Audit diri ketika diuji

Audit diri ketika diuji

Keadaan kawasan perumahan yang musnah akibat dilanda bencana tanah runtuh serta banjir ketika di Sungai Penchala, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 DISEMBER 2021.

PANDEMIK Covid-19! Bencana banjir!
Kala ini, pastinya ramai antara kita yang sedang berhadapan dengan kemelut dan gelanggang ujian yang amat dasyat. Sebagai manusia dalam apa jua rupa dan peranan kita, sama ada sebagai ayah, ibu, anak, suami isteri, pelajar mahupun pekerja, pastinya kita akan diuji dengan pelbagai cabaran dan rintangan. Peribahasa Melayu ada mengatakan ‘ku sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari’. Begitu juga dengan kehidupan kita.

Kadangkala, kita bergembira dan ada kalanya kita diuji. Kadangkala kita menyangkakan
bahawa kehidupan kita akan tenang dan bahagia hingga ke akhirnya. Namun, di
pertengahannya kita diuji dengan pelbagai ujian seperti pandemik Covid-19 dan bencana
banjir yang melanda baru-baru ini. Kehilangan orang yang tersayang, harta benda, pekerjaan merupakan antara detik getir dan pahit yang herus ditelan oleh kebanyakan dari kita.

Sebagai seorang Muslim, harus kita ingat bahawa ujian ini tidak semestinya pahit malah
kesenangan dan kegembiraan juga merupakan satu ujian buat diri kita yang bergelar hamba Allah. Kehidupan yang kita lalui ini pastinya ada pasang surut. Ada kalanya kita berada di atas dan ada kala kita berada di bawah. Namun. Ingatlah bahawa setiap daripada kita akan diuji dengan pelbagai ujian yang berbeza-beza, tanda kasih saying daripada yang Maha Penyayang dan Maha Mengasihani.

Ujian yang telah Allah datangkan boleh muncul dalam beberapa keadaan dan bentuk sama ada ujian itu merupakan pengangkat darjat bagi orang yang beramal soleh dan beriman. Malah, ia juga boleh hadir dalam bentuk musibah sebagai salah satu cara pengampunan dosa dan penyujian jiwa. Selain itu, ujian juga boleh datang
dalam bentuk bala sebagai memberi balasan atas kemungkaran dan kejahatan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 214 yang bermaksud; “Adakah patut kamu menyangka yang kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai ujian kepada kamu dan juga cubaan seperti yang telah berlaku kepada kaum-kaum terdahulu sebelum kamu. Mereka telah ditimpa dengan kepapaan, kemiskinan, serangan penyakit dan ancaman musuh”.

Malah, Allah telah mengakhiri ayat ini dengan berfirman; “Ketahuilah, sesunggguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. Asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah”.  Dengan segala ujian yang Allah telah hadirkan buat diri kita, seharusnya kita sedar dan insaf serta mengambil ikhtibar dan pengajaran daripadanya agar kita menjadi hamba Allah yang lebih baik. Auditlah setiap amalan yang telah kita lakukan selama ini.

Adakah amalan-amalan tersebut mampu menjadi tiket bagi kita untuk menuju ke syurga atau menghumbankan kita ke neraka. Sesungguhnya Allah telah mengingatkan kita dengan perkara ini di dalam firmannya  yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hasyr, ayat 18)

Dalam berhadapan dengan musibah, tidak dinafikan bahawa adalah mustahil bagi jiwa
seorang hamba untuk tidak berasa sedih dengan ujian yang menimpa sementelah ujian-ujian yang dilalui amatlah memeritkan seperti kehilangan orang tersayang, harta dan pekerjaan serta kesakitan dek wabak penyakit. Namun begitu, ia bukanlah alasan dan penghalang untuk kita terus bangkit. Yakinlah dengan kekuasaan Allah yang pastinya sedang menyiapkan sesuatu buat hambaNya disebalik kesusahan yang berlaku.

Teruslah melangkah dan jangan berhenti mengambil hikmah serta mendidik jiwa dengan sifat redha. Hakikatnya, kita perlu sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang telah diperolehi pada hari ini. Nikmat kesihatan, nikmat makan, nikmat hidup berkeluarga, nikmat bekerja dan apa jua nikmat yang Allah telah kurniakan kepada kita. Bersama-samalah kita mencari Mardhatillah (keredhaan Allah) dengan menambah amal ibadah kepadaNya. Jauhilah perkara-perkara mungkar yang boleh mengundang kemurkaan Allah dan melakukan segala suruhanNya.

Kita seharusnya sentiasa bermuhasabah diri, melihat kekurangan dan kelompongan yang wujud serta memperbaikinya. Selain itu, sentiasalah berfikiran positif dengan mengungkapkan kata-kata positif yang dapat memberikan motivasi pada diri untuk berubah kea rah yang lebih baik. Semoga ujian yang datang ini, dapat kita menerimanya dengan hati terbuka dan bersabar serta tabah sehingga kita mendapat sinar di penghujungnya.

OLEH: Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia