Home Nasional Kerajaan Johor salurkan RM500 kepada penduduk terjejas banjir

Kerajaan Johor salurkan RM500 kepada penduduk terjejas banjir

Hasni Mohammad (dua dari kiri) ketika menghadiri taklimat banjir yang turut dihadiri Hishammuddin Hussein (tengah) di Segamat, Johor.

SEGAMAT – Kerajaan negeri Johor akan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM500 kepada penduduk yang terjejas banjir di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pemberian bantuan itu bagaimanapun akan dibincangkan bersama barisan exco kerajaan negeri dalam mesyuarat yang akan diadakan pada pada Rabu ini.

“Saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat exco agar menambah lagi bantuan kepada mangsa banjir,” katanya pada sidang akhbar di Batu Anam, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Hasni berkata, kerajaan negeri akan menjadi  pemudah cara  bagi memastikan bantuan daripada pelbagai agensi sampai kepada mangsa banjir tepat pada masanya.

“Peranan kementerian agensi di jabatan-jabatan terlibat, kita amat mengalukan atas komitmen yang ditunjukkan, kami di Johor amat mengalukan dan berterima kasih.

“Peranan dan tumpuan yang saya berikan ialah pemudah cara  segala bentuk tumpuan yang diberikan.

Sebagai contoh RM1,000 daripada kerajaan persekutuan, RM10,000 bagi kematian dan saya akan membawa kepada mesyuarat exco hari Rabu ini menambah RM500 rdan kita akan bincang jumlah bantuan mangsa banjir jika libatkan kematian,” ujarnya.

Setakat jam 12 tengahari tadi, keseluruhan mangsa banjir di Johor melibatkan tujuh daerah iaitu Segamat, Kota Tinggi, Kluang, Mersing, Johor Bahru, Tangkak, Batu Pahat  terus meningkat kepada 4,062 orang.

Jumlah terbabit melibatkan 1,064 keluarga yang kini ditempatkan di 64 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan mangsa banjir paling ramai adalah dari Segamat iaitu seramai 3,284 orang daripada 853 keluarga. – MalaysiaGazette